Kenyataan. Terima kasih kerana membaca :) .

Bismillah ar Rahman ar Rahim. InsyaALLAH, mulai hari ini, blog ini saya jadikan arkib entri terdahulu memandangkan entri-entri tersebut tidak akan di ulang siar di blog baru saya. InsyaALLAH, dengan ini, saya akan seterusnya menarikan jejari dengan melakar buah fikiran di blog saya yang terbaru. Terima kasih kepada para tetamu yang singgah di sini. InsyaALLAH boleh kiranya teruskan menghirup setitis manfaat dengan izin ALLAH swt di blog terbaru saya. Untuk ke sana boleh lah terus menekan link di bawah ini :

www.nahwannur.hadithuna.com

Wednesday, October 29, 2008

.: Warna-warni Ujian dan Ukhwah :.


Ujian itu tiada henti. Benar! Kata sahabat nahwan, hidup ni suatu ujian. Seorang lagi kata, hidup ini ialah suatu perjuangan tanpa henti, atau kata orang kampung nahwan, ’life is a never ending struggle’. Apapun mereka kata, nahwan setuju. Memang benar belaka. Lalu, bila dikatakan ujian, maka lumrah keputusannya ada gagal ada lulusnya .


Hari ahad lalu nahwan pulang sebentar ke kampus. Saat sampai di mahallah, rezeki ALLAH melimpah ruah. Rakan sebilik membuat ’bilik terbuka’. Menunya mee kari ampang mari. Itu kata teman-teman serumah nahwan. Mee kari yang di beri oleh sahabat kepada teman nahwan. Alhamdulillah. Tetapi yang menariknya adalah tetamu bilik terbuka kami. Rata-ratanya singgah dan menjamu selera sebagai ’waktu rehat’ dari persiapan untuk imtihan. Begitu juga dua teman sebilik nahwan yang mengambil pengajian sarjana melalui kelas (erm, english termnya ’master by thought course’). Dan tidak lupa yang sedang membuat persiapan akhir untuk perbentangan akhir dan submission thesis.


Satu kumpulan pelajar dari bidang IRK (Islamic Revealed Knowledge) yang sedang membuat ulangkaji berkumpulan datang menyinggah menarik perhatian nahwan. Setiap sesi bual sarat dengan fakta ilmu. Di selit dengan gurau. Menarik! Entah, bagi nahwan sungguh menarik. Suasana jadi riuh seketika di akhir kunjungan pelajar IRK apabila mengetahui hakikat kehadiran tetamu istimewa yang tak di sangka. Kawan kepada nahwan yang juga penulis novel islami remaja yang sedang naik sekarang. Jenuh nahwan di usik kerana merahsiakan identitinya .


Saat mereka mahu beredar, tiba pula tetamu dari seberang, pelajar sarjana psikologi. Tak di sangka dia dikenali dikalangan pelajar IRK. Sememangnya dia amat di senangi kerana keramahannya dan corak persahabatannya. Begitulah ukhwah, ia sentiasa mekar jika semuanya kerana ALLAH Smile.


Berbicara dengan ukht novi dari seberang ini memang mengundang tawa dan senyum namun sarat dengan mesej dakwah. Santai tapi ilmiah. Kak novi merupakan tetamu terakhir kami. Makanan juga yang terakhir. Baki mee satu mangkuk penuh kami (nahwan, kak novi dan teman serumah) kongsi ber tiga. Ini mengundang nostalgia nahwan ketika iftar bersama akhwat di johor dan gombak. Makan beramai-ramai di dalam talam. Memang indah dan manis ukhwah terasa.


Apapun, atas setiap perancangan kamu, jangan khawatir jika Dia ngga beri apa yang kamu inginkan, kerana pastinya Dia sedang mempersiap sesuatu yang lebih baik buat kamu

Kata Kak Novi mengakhiri perbualan kami. Senyum. Memang kata itu banyak di jumpai dan selalu di dengari. Namun, amat bermakna jika dilafazkan oleh teman kerana ukhwah itu semakin manis jika saling terus mengingati. Kerana manusia walau tahu tapi kadangkala lupa dan alpa.


Pulang sahaja tetamu terakhir kami, masing-masing mula kembali ke bilik dengan urusan masing-masing, mengulangkaji untuk imtihan. Berbeza buat nahwan, tiada imtihan setelah berakhirnya satu kuiz akhir dua minggu lalu, selebihnya hanya urusan penulisan thesis dengan lambakan buku yang di pinjam dan meminta untuk di baca oleh si peminjam FootInMouth. Lalu masa sedikit sebelum lelap malam itu, nahwan ke cyber cafe mahallah untuk membuat salinan resume. Sambil menyelam teguk sedikit airnya. Melihat-lihat internet setelah tiga hari berjauhan kerana urusan keluarga.


Saat pulang dari kafe internet, nahwan melalui jalan ’jauh’ ke bilik kerana ingin mengambil sedikit angin malam buat mencari sedikit ketenangan. Melalui celahan bangunan, bawahan pepohon rimbun, bibir sentiasa tersenyum. Bukan apa, saat imtihan bakal menjengah, setiap pelosok kawasan pasti terdapat ’tetamu’ yang menumpang damainya alam ALLAH swt untuk mengulangkaji. Pelbagai warna persiapan. Ada yang berjalan berpusing di bawah pohon, sambil seperti mendeklamasi sajak memujuk alam ciptaan tuhan, sambil di tangan ada helaian nota ’pujangga’. Ada yang khusyuk tunduk di bangku laman memandang nota sambil menyaji lagu di telinga, ada yang berpasangan atau berkumpulan berbincang rancak sistem itu dan ini (sah budak engin ni). Ada juga yang santai bersembang sambil minum dan makan ringan. Ada juga yang rajin berjoging di gelanggang kecil di pusat mahallah. Indah dan ceria. Jadi rindu nahwan di buatnya untuk turut sama mengalami getarnya saat menanti imtihan, melonjaknya paradigma untuk menelaah dan memahami setiap yang di pelajari.


Saat ini, nahwan kembali ke teratak kekanda. Menemani kakak yang sarat mengandung yang datang ke kota metropolitan buat mengambil peperiksaan akhir semester pengajian sarjananya. Melihat kekuatan dan semangat angah yang sarat 33 minggu, membuat nahwan rasa semangat untuk belajar. Suami di utara, dia di sentral tanah air. Sudah cecah 2 minggu angah berpisah sementara dengan zaujnya buat menghadapi peperiksaan. Ada baki satu minggu maknanya. Sungguh ketabahan dan pengorbanan itu amat besar, kalau nahwan entahlah. Memang dari dulu angahlah idola nahwan. Menemani kakak di rumah banyak membangkit kesedaran, namun banyak mengundang lena. Kerana nahwan alergi dengan suasana rumah, pasti mahu lelap. Bukan salah rumah atau angah, tapi nahwan!


Apapun, titik tumpu entri ini sebenarnya pada ujian yang bakal menjengah mereka yang bernama pelajar. Peperiksaan akhir semester yang menentukan langkah pengajian seterusnya.


Akhir sekali, kata-kata ini saya cuplik dari blog syazana aka khazinatul asrar;


Yang dilihat dan diukurNYA bukan sejauh mana usahamu... tapi sejauh mana tawakkal dan PERCAYAmu nan jitu. Pergantungan padaNYA. Tapi tak bermakna tak perlu berusaha. USAHALAH semampumu. Tapi jangan sesekali beraqidah bahawa banyak usahamu penentu kejayaan. BerIMANlah bahawa TAWAKKALmu itu sebenarnya hanya semata - mata padaNYA. Itulah penentu kejayaanmu. Kejayaan yang bukan milik sesiapa, tetapi adalah milikNYA. Jadi, seyakinnya hendaklah kita pohon dariNYA semata.



Dedikasi istimewa buat angah kakanda ku yang begitu tabah, buat teman serumah PG 2.4, buat teman di USIM, UTM, UIA, dan tak lupa buat semua kawan-kawan dan pelawat yang bakal menghadapi imtihan, pembentangan akhir thesis, studio dan sebagainya, semoga sukses, all the best, maat taufiq wannajah fil imtihanSmile


Warna-warni ujian dan ukhuwah, hakikatnya terlalu indah dan ceria. Syukur alhamdulillah dan terima kasih ALLAH atas anugerah yang tidak terhingga ini Heart

Tuesday, October 28, 2008

.: Mencari Jalan ILAHI :.



Dunia tidak laksana embun yang dingin
Tidak sedingin sang bayu pagi
Dilanda gelisah tiada pedoman
Mencari jalan Ilahi

Angin bertiup membawa berita duka
Menyentuh rasa hati naluri berdebar
Mengenang diri tiada pedoman
Memohon keampunan

Lantaran sepi di jiwa ini
Dilindungi gelisah tanpa iman Ilahi
Dunia sepi bagai tiada penghuni
Kosong hati ini terpancar duka

Wahai Tuhan kumemohon keredhaan
Terangilah kegelapan jiwa ini
Pancarkanlah sinar pada hamba-Mu
Kupohon ya Tuhanku

Aku bagaikan sebutir pasir
Yang lemah kerdil tiada bermaya
Ya Tuhanku lindungilah diriku ini
Agar tidak jauh terpesong dari-Mu


Album : Persada Nurani
Kumpulan Nasyid: Nahwan Nur Frown

Wednesday, October 22, 2008

.: Janji DIA dan Janji Kita?! :.


Assalamualaikum warahmatullah. Alangkah indah dan bahagianya jika diri tetap di ingati dan di hargai walaupun setelah janji itu pasti. Di ingati kerana budi, dan di hargai kerana jasa. Bukanlah kerana khilaf atau sengketa. Namun bukan bermakna diri pinta di sanjung mahupun di junjung, cuma harapannya agar ada ‘peninggalan’ selepas kematian, ada doa mengiringi perjalanan berseorangan. Kerana pabila pergi membawa amalan, meninggalkan segala harta, menghitung iman dan ketakwaan.



Ya, janji tetap janji, dan itu suatu yang pasti. Hari ini, esok, saat atau mungkin detik yang seterusnya walau tanpa sedia jika masa yang di janji itu tiba, pasti tetap pasti! Namun, benarkah janji kita di dunia tertunai saat janji NYA menjengah? Apa sebenarnya yang di bawa? Fitnah atau ingatan dan doa?


Ingatlah akan kematian yang pasti, lalu ingatlah janji sebagai hamba dan khalifah ALLAH swt, pantas melangkah hebatlah bergerak. Ummah menanti kita di luar sana, budi dan bakti kerana ALLAH swt, biar apapun jalan kita, biar apapun pilihan method kita, biar apapun cara kita, pastikan matlamat itu satu, kerana ALLAH, buat menuju redhaNYA.


Al-fatihah buat ‘tetamu ALLAH swt’ di barzakh. Moga kebaikan kalian tinggalkan di dunia mampu membawa redha ALLAH swt.


...Buat pengetahuan umum, jenazah Dr. Ahris Yaakub selamat tiba dari Christchurch, pagi jumaat lalu, 17 Oct 08' dan selamat di kebumikan di putrajaya. Al-fatihah. Khabarnya terlalu ramai yang hadir, rombongan (bas) dari JPPD, UTM, dan UIA sendiri. Dan pelbagai institusi lain dan rakan taulan dan kenalan allahyarham.


In loving memory, my late former lecterur, Professor Dr. Ahris Yaakub.


Bertapa beliau di hargai ya ALLAH, moga beliau di tempatkan di kalangan orang yang beriman, semuanya tetap atas pengetahuanMU ya ALLAH.


Link lain tentang beliau:-

>> Profile Dr. Ahris Yaakub

>> In Memory by UGISP

>> Memori Lalu by Johor Photographer

>> Memori Lalu by Johor Photographer2

>> Dari kaca mata heda & Wan

>> Dr.Sepet (Ex-student dr ahris)

>> Yop4ever (saudaru allahyarham)


p/s [nahwanNUR]: Hati tergerak menaip nama dr.ahris di google search, dan subhanALLAH banyak pamitan yang menceritakan hal pemergian dan jasa allahyarham. Ya, beliau tidak pernah meminta begitu, tapi inilah pulangan atas setiap jasanya. Punya nilai walau setelah janjinya tiba. Kita bagaimana nanti? Sekurang-kurangnya adakah kita hadir dalam doa teman, rakan dan taulan? Bukan mahu di sanjung, Cuma memikirkan ‘adakah punya sumbangan sepanjang kehidupan?’

Friday, October 17, 2008

.: Seutas Tasbih, Sebuah Janji :.


AIR mata Pak Long sudah terkumpul dan tergantung di dagu. Perlahan-lahan ia memberat lalu menitis setitik demi setitik ke atas sejadah. Ada setitik dua mengena tasbih di tangan kanannya. Tangan yang sudah nampak berkedut sedikit, tetapi menegang urat-urat hijau. Aku memejamkan mataku seketika, cuba menghalau semacam keterharuan dan kesedihan. Jelas, aku tidak berjaya menghapuskan perasaan yang amat mengusik hati. Usikan itu bagaikan mendorong mataku (yang melihat Pak Long berwirid di satu sudut ruang tamu) supaya turut menitiskan air jernih seperti Pak Long. Ketika berjalan menuju ke bilikku dengan bibir terketap, aku dapat merasakan jolokan hatiku tadi benar-benar terlaksana.


Setelah menghempaskan tubuhku ke atas tilam katil dan menyembamkan mukaku di bantal, beberapa titik air jernih sudah tertitis ke bantal itu, membentuk satu bulatan besar, seolah-olah membentuk huruf 'O', kebetulan huruf pertama bagi nama Pak Long - Omar. Bahuku terenjut-enjut. Sebak dadaku bukan main. Kupejamkan mataku rapat-rapat. Dalam pejam mataku, aku dapat melihat kisah-kisah silam berputar semula
seperti tayangan filem. Sungguh jelas. Mula-mula aku dapat melihat Pak Long seperti biasa menegurku dengan penuh sinis, panjang lebar pula seperti orang berkhutbah:


"Ini bukan cerita Hindustan, di mana kau boleh atasi masalah dengan menyanyi rayu atau beritahu masalah dengan hanya menyanyi tanpa berbuat apa-apa. Kau fikir cukup ke dengan air mata sebagai ubat untuk perasaan yang pilu? Ini hidup nyata, Tini. Kau mesti lakukan sesuatu dengan bijak dan realistik. Caranya tiada lain daripada belajar dan berusaha bersungguh-sungguh, kalau hendak lulus peperiksaan penggal akhir."


Berdesing telingaku pada ketika itu. Ketika aku dalam Menengah Lima dahulu. Pak Long tidak akan tahu kalau ibuku tidak memandai-mandai mengadu kepadanya. Benciku kepada Pak Long usah dikira lagi. Habis adegan itu, adegan lain menyusul di benakku. Kali ini disebabkan kenakalanku. Ibu amat marah dan kecewa. Marah kerana lidahku telah menderhaka kepada diriku sendiri. Kecewa, kerana aku tidak menunjukkan diriku sebagai wanita yang harus bersifat baik dan dihormati. Aku melihat Pak Long berkhutbah panjang lagi, tidak berhenti-henti macam kereta api ekspres dan dalam satu nafas. Kesian aku tengokkan.


Dia menukas: "Dalam hidup jangan suka berbohong. Jangan suka menipu. Berbohong dan menipu tak menguntungkan. Ini tandanya hati orang itu busuk dan jahat. Dan tidak Islamik. Juga membuat hati seseorang itu tak senang dan tenang. Tak kurang resah. Kalau hendak berhati tenteram kenalah bersikap jujur. Jujur kepada orang lain dan jujur kepada diri sendiri."


Aku membuka mataku. Berbinar-binar seketika. Apabila sudah menjadi sebati dengan keadaan dalam bilik yang diterangi lampu 40 watt, aku memusingkan badanku menghadap siling. Hidungku terasa berair juga. Aku mengesat-ngesat dengan belakang jari telunjuk. Dadaku terus sebak.


Pak Long, teguran Pak Long pada masa itu begitu pedas dan keras. Juga tajam. Dalam diam, Pak Long lebih menunjukkannya kepadaku. Pada tahap ini, aku merasakan apa yang Pak Long katakan itu sedikit pun tidak salah. Memang orang atau lebih tepat aku yang tidak jujur. Sentiasa hidup dalam ketakutan dan keresahan. Takut kerana rahsia buruk dan busuk diketahui orang. Resah kerana orang lain, lebih tepat si Jamil tidak mempercayaiku lagi. Perempuan apakah aku ini?


Pada Hassan aku kata 'cinta'. Pada Jamil pula aku kata 'sayang'. Dan akhirnya tembelangku pecah. Jamil yang amat menyayangiku terluka hatinya. Tergores, disiat-siat pedih dengan belati paling tajam. Maafkan aku, Jamil. Aku telah melaknati kasihmu. Maafkan aku juga Hassan. Astaghfirullah Al –Adzim.


Kini mataku terus memandang siling. Kali ini dalam mata terbuka, adegan lain ligat berputar di ruang mata. Aku dapat melihat Pak Long tidak habis-habis marah dan seperti berkhutbah lagi apabila dia mendapat tahu sikap ibu yang menjengkelkan hatinya. Tetapi puncanya tetap aku juga.


"Bedah, aku sangkakan kau telah berjaya membawa Tini balik ke pangkal jalan. Mengenal Allah setelah dia bertaubat dahulu," tekan Pak Long. Memang dia telah bertaubat," tingkah ibu bersungguh-sungguh.

Pak Long menggigit-gigit bibir. Kuat-kuat. Dia memandang ibu seperti hendak makan ibu layaknya. Matanya benar-benar mencerlang garang. Merah seperti biji saga. Dahsyat. Aku tahu Pak Long bukan saja marah. Dia sebenarnya berasa pilu berbaur kesal. Pilu kerana ibu katanya hanya pandai menyediakan wang yang mencukupi untuk aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Pandai menyediakan selimut dan bantal serta pakaian tebal untuk aku tidur nanti di bilik sewa berhawa dingin di Kuala Lumpur. Kesal kerana ibu katanya lagi, sudah lupa satu perkara yang tidak boleh diambil ringan. Ibu hanya bijak mengambil berat akan kebajikanku termasuk perbelanjaan yang mencukupi serba-serbi itu. Kesian ibu dimarahi Pak Long. Ibu diam dan tidak berani menentang mata abangnya.


Sejak arwah ayah berpulang ke Rahmatullah beberapa tahun lalu itu, dialah yang banyak menolong kami. Pada tahap ini aku berasa lebih kesian kepada Pak Long. Tidak dapat dinafikan kerana daripada mata yang mencerlang garang, dia seperti kanak-kanak yang tiba-tiba kaya dengan air mata. Oh, Pak Long!

Kemudiannya aku tertanya-tanya apakah yang Pak Long kesalkan? Mengapakah ibu dimarah-marah hebat? Aku tidak kecewa kerana dari mulut Pak Long sendiri, dia menyahut pertanyaanku yang satu-satu itu. "Manalah Pak Long tak kesal, Tini," suara Pak Long bergetar panjang. Aku memandang tepat ke muka Pak Long yang air matanya sudah meleleh membasahi pipinya yang cengkung. Aku ingin benar bertanya apa yang begitu dikesalkan sampai ibu kecut apabila dimarahinya. Tetapi sebelum aku sempat berbual demikian, Pak Long yang berusia 60 tahun, lapan tahun lebih muda daripada ibu itu berkata, "Mak kau sudah lupa. Lupa menyediakan sejadah, buku Yasin dan telekung. Apa gunanya bertaubat kalau itu tidak dibekalkan untuk kau, Tini?"


Tersentak aku dibuatnya. Kecur air liurku. Terasa pahit apabila aku cuba hendak menelannya. Manalah tidak pahit kerana kata-kata Pak Long dalam dua ayat itu memang benar belaka. Aku mengutuk diriku sendiri kerana tidak terfikirkan perkara itu. Tidak terfikirkan begitu daifnya aku dan ibuku sendiri. Apakah dalam mengejarkan ilmu dunia, aku menjadi lalai? Kesian ibu. Lebih kesian kini Pak Long yang penyayang itu. Aku tahu kini perasaan Pak Long yang sebenarnya. Betapa remuk hatinya apabila kematian isteri dan anak perempuannya, Azizah. Kalau sepupuku tidak terkorban dalam nahas jalan raya bersama ibunya dulu, tentu dia sebaya denganku. Mungkin inilah agaknya Pak Long begitu mengambil berat terhadapku, seolah-olah aku adalah Azizah yang amat disayanginya. Seolah-olah akulah pengganti Azizah. Seolah-olah akulah penawar rindunya pada arwah Azizah. Seolah-olah aku adalah anaknya sendiri. Pak Long!


Bercakap tentang kesian, aku kini dibawa ke satu masa silam juga yang membuat kesianku kepadanya bercambah. Bercambah kerana Pak Long tidak habis-habis menegurku. Mulutnya seperti murai dicabut ekor, tetapi hatinya pada ketika itu tulus. Susah hendak mendapatkan orang yang baik seperti Pak Long. Aku masih ingat betapa Pak Long terbakar hatinya. Terbakar memikirkan satu lagi halku. Aku tahu kini kalau sikapku yang tamak ketika itu tidak dibetulkan, aku tentu tidak akan selamat dunia akhirat. Aku akan terus khayal dengan hal-hal keduniaan.


"Apa yang kau fikirkan tu, Tini?" Aku tidak segera menjawab. "Eh, budak ni. Mengapa Tini?" "Saya risau dan malulah Pak Long." "Risau? Malu?" "Manalah tak risau dan malu Pak Long. Saya sudah gemuk," sahutku sambil melihat diriku di cermin almari. Jelas terlantun wajahku yang berkulit cerah, berambut panjang, beralis tipis hitam pekat, berbaju agak besar dan berseluar panjang yang tidak pula menampakkan luruh punggung yang kental. Dan yang menjadi isu tubuhku yang sudah bertambah berat. Pak Long tersentak. Sampai kelu lidahnya. Agak lama baru dia menekan keras-keras, "Oh, risau dan malu. Orang-orang zaman sekarang termasuk kau sungguh menjengkelkan. Risau dan malu kerana gemuk konon. Tapi tak pula risau dan malu bila tak sembahyang. Kau nak jadi ahli neraka?"


Kini giliran aku pula tersentak. Lupa sekejap pada rasa malu dan risau kerana sudah gemuk. Terasa teguran Pak Long amat pedas. Amat tajam. Amat pedih. Dalam keadaan tersepit seperti itu, aku menjadi manusia yang tidak berani membantah. Kata-kata Pak Long yang pedas, tajam dan pedih telah terkumpul menjadi satu. Aku memang masih ingat lagi dengan jelas semua itu dan yang paling jelas ialah sesuatu yang paling tidak didugakan menimpa diri Pak Long sendiri. Ibu bagaikan tidak percaya. Mungkin tersalah orang, tekaannya.

Bagaimana mungkin Pak Long yang kaya dengan tegurannya padaku suatu masa dulu boleh tersasar begitu rupa? Aku hanya menenangkan hatiku dengan mendesis: "Pak Long juga manusia biasa. Lemah dan serba kekurangan juga. Sekali manusia tersalah langkah, parah. Pada tahap ini tidak dapat disangkalkan telingkah iman dan kufur selalu terjadi setiap detik dan hari. Sekalipun dia kuat sembahyang. Bukankah iblis dan syaitan memang menunggu peluang ke atas mereka yang lalai. Tetapi bagaimana Pak Long boleh lalai?


"Betul mak. Pak Long telah cedera parah. Kepalanya dipukul dan kakinya patah sebelah kanan. Banyak kehilangan darah, tapi Tuhan masih sayangkan dia," terangku kepada ibu apabila mendapat berita daripada kenalannya di Batam. Ibu hanya kaya air mata. Tersedu-sedu menahan sebak dan kesal berbaur marah? Aku ingin mengatakan perbuatan Pak Long amat memalukan, mengecewakan dan mengesalkan. Malu kerana bukankah Pak Long sembahyang tak tinggal. Puasa setia dikerjakan. Zakat fitrah tak pernah lupa. Sedekah tak usah dikira lagi. Kecewa kerana seorang lelaki Muslim seperti Pak Long tergamak menderhaka kepada Tuhan. Kesal kerana seorang yang dihormati seperti Pak Long boleh mudah terpengaruh dengan ajakan kenalan yang jahat dan kerana seorang perempuan muda lagi jelita di Batam itu, dia habis. Imannya tergugah. Punah! Juga aku ingin menambah lagi kerana setitik madu Pak Long menjadi pelupa dan hanyut. Masya-Allah.


Tetapi aku padamkan saja keinginan itu. Tidak mahu hati ibu bertambah luka dan duka. Cukuplah. Hatinya benar-benar terguris. Tersiat maha pedih. Sekalipun Pak Long tersasar, dia tetap abang ibuku. Cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga. Tetapi apabila difikirkan masak-masak, aku menjadi tidak peduli. Kalau kepada ibu tak akan kukatakan dengan lebih lanjut, kepada Pak Long aku masih mahu menegurnya. Kalau Pak Long hendak mengecapku kurang ajar, biarkan. Kalau Pak Long hendak menuduh aku semata-mata membalas dendam ke atasnya, biarkan. Dan jika dia hendak memarahi aku kerana tidak menghormatinya lagi kerana setitik madu itu, aku lebih tidak peduli. Juga biarkan. Ya, aku tidak peduli langsung kalau Pak Long atau ibuku sendiri akan membidas aku sebagai ada jebat yang derhaka dalam jiwaku. Ataupun di dalam hatiku pula ada api yang membara. Yang penting, Pak Long mesti diingatkan. Mesti!


Dan aku pun menunggu masa yang sesuai. Menunggu sehingga Pak Long dipindahkan dari hospital di Batam ke Hospital Besar di tanah air. Pak Long tidak perlu bercerita apa-apa yang terjadi di Batam. Semua orang sudah tahu. Seorang lelaki 60 tahun telah dirompak dan dipukul hingga cedera parah selepas menjunjung piala kasih sayang dengan perempuan muda yang lebih kurang seusia dengan anak saudaranya - 25 tahun. Berdesing telinga apabila ada orang sengaja mempersendakannya dengan penuh sinis: "Orang tua tu 'bum boat'. Mana dia ada tenaga hendak lawan 'speed boat'? Nasib baik dia kena rompak, kalau kojol terus atas katil, macam mana? Kena pelukan perempuan muda, habis! Sejadah tercampak entah ke mana? Kiblat pula entah ke mana arahnya? Cakap saja bijak, tetapi satu habuk pun tak boleh pakai."


Dalam kekesalan dan kekecewaan bebaur marah, terasa kesian pula apabila aku melihat kepala Pak Long yang berbalut. Mukanya lebam-lebam dek ditumbuk. Bibirnya luka-luka ditangani perompak. Dan dengar kata perompak itu kekasih perempuan yang telah mengoyak-ngoyak iman Pak Long. Kaki kanan Pak Long tak terangkat kerana dipukul dengan sebatang kayu. Ada air jernih bergenang di mataku. Agak lama Pak Long di hospital. Apabila sudah agak sembuh, muka dan bibir Pak Long kembali asal. Cuma kaki kanannya tempang apabila berjalan.


Pada suatu pagi di rumahku (Pak Long sudah tinggal bersama kami selepas kejadian itu), aku meluahkan keinginanku yang sudah lama terpendam. Dan tidak lupa aku tambah dengan panjang lebar yang berbunyi begini: "Ingat, Pak Long akan janji Tuhan. Pak Long juga kata, kematian adalah janji Tuhan yang paling akrab dan tidak tergelincir walau sesaat pun. Dia tidak akan mungkir. Jangan tunggu sampai disembahyangkan sebelum sempat bertaubat dan bersembahyang dalam erti kata yang sebenarnya. Biarlah kita mati dalam iman."


Aku menantikan Pak Long yang bersejemput janggut di dagu itu bersuara. Suara yang akan mengecapku kurang ajar. Tuduh aku pendendam. Bidas aku apa saja. Ya Allah mulutnya yang macam mesingan dulu bagaikan kehabisan peluru. Tiada lagi api. Pak Long hanya tunduk sambil mengetap-ngetap bibir. Badannya kulihat menggeletar. Di atas sofa ruang tamu aku terus menyerang, "Pak Long bernasib baik. Wang yang dirompak boleh dicari. Iman yang menipis boleh ditebalkan dengan kembali kepada perintah Allah dengan lebih setia. Tapi nyawa Pak Long tak boleh dicari ganti bila dicabut malam itu."


Pak Long yang kurus tinggi, bermisai nipis dan berambut kerinting agak menipis dan sudah banyak putih daripada hitamnya itu kian tunduk. Ketapaannya kian kuat. Aku terus menambah, "Pak Long, saya sayangkan Pak Long. Manusia manalah yang tak buat silap. Dulu Pak Long pernah menghadiahkan saya seutas tasbih dan mahu saya berjanji supaya teguh dengan taubat saya. Saya patuh. Kini saya hadiahkan seutas tasbih juga. Ini bukan untuk balas membalas. Tidak sesekali. Saya rasa tak salah bagi orang lebih muda seperti saya mengingatkan kepada orang yang lebih tua seperti Pak Long supaya berjanji juga agar tidak kesasar lagi. Ya, berjanjilah untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah. Kerana janji Ilahi tak pernah mungkir. Orang yang beriman akan diberi ganjaran yang setimpal. Pak Long masih ingat, 'kan?"


Ya Allah bergetarnya suaraku. Mataku terasa berpasir. Ibu ada pada pagi itu. Dia tidak menegah aku. Dia tahu aku bukannya sengaja hendak mengasari Pak Long. Dia tahu aku sayangkan Pak Long. Dan Pak Long sendiri pun tahu aku amat menyayanginya. Kalau sekalipun dia bukan Pak Longku, aku akan tetap menasihatinya kerana sebagai sesama Muslim bukankah itu satu sikap yang digalakkan agama? Aku bangun berdiri lalu keluar dari bilik untuk ke dapur, hendak membuatkan teh susu panas kesukaan Pak Long. Untuk membasahi tekaknya setelah berwirid panjang nanti. Angin 9.00 malam menyerbu masuk melalui jendela yang terbuka, melenggang lenggokan langsir hijau daun. Ibu di biliknya. Berehat setelah bersolat Isyak bersamaku tadi dan makan ubat. Ibu sering sakit-sakit sejak peristiwa melibatkan Pak Long yang memalukan di Batam dahulu. Peribahasa lama itu ternyata benar dan sahih ke atas dirinya. Apabila ada orang mengejek Pak Long, dia merasa tempias sinisnya. Apabila ada orang mempersendakan Pak Long, dia merasa percikan ejekan pahit itu.


Rumah tiga bilikku di tingkat sepuluh sunyi. Tetapi aku lihat mulut Pak Long tidak pula sepi daripada terus berwirid panjang. Sepanjang rantaian biji tasbih yang kuhadiahkan kepadanya. Hadiah berulit janji yang tidak diingkarinya sejak peristiwa yang menggugat keluarga kecilku. Sebuah janji bukan untuk diriku atau dirinya sendiri, tetapi lebih kepada janjinya kepada Tuhan yang benar-benar pula tidak mungkir janji-Nya.

Wednesday, October 15, 2008

.: My Littre Tears :.


Pelangi petang itu entah kenapa aku tangisi. Mungkin tak tertahan. Zalim rasanya pada sang pelangi yang sabar memujuk lembut dengan pelbagai warna keceriaan, namun terus-terusan jua air mata mengalir, menangis hiba bukan gembira.


Hati terluka dengan si pendusta yang nista. Jarang-jarang aku mahu memanjangkan marah, namun kali ini tak mampu aku menentang amarah, Astaghfirullahal'azim.


“Dan musibah apapun yang menimpa kalian, maka itu terjadi karena ulah perbuatan tangan-tangan kalian, dan Allah memaafkan banyak kesalahan orang.”
(QS. Asy Syura [42]: 30).


Dia sahabatku. Aku di sini gembira memperlihatkan tawa, dia di sana terseksa disebalik senyumannya.


Beberapa hari lalu aku mendapat perkhabaran dari temanku, sahabat ku juga merupakan adiknya semakin ‘kurang sihat’. Gembira ku yang pada awalnya setelah mendapat perkhabaran dari teman baikku bertukar duka dan risau. Geram dan MARAH!


Pendusta hina!


Sudah hampir 3 tahun adik perempuan teman baikku (yang juga sahabatku) dan keluarganya juga kenalan keluarga ku terseksa, itu bermakna sudah 3 tahun juga aku mengenalinya. Sakit nya sekejap datang sekejap pergi. Kali terakhir aku dengar kesihatan nya baik setahun yang lepas. Selebihnya dia sentiasa ‘terganggu’ sehingga mengakibatkan dia terpaksa menangguh setahun pengambilan spm 3 tahun lalu. Sakitnya bukan kepalang akibat tersihir si pendusta cinta.


Lelaki itu kononnya ‘terpaksa’ menyihir dek kerana hati yang terluka akibat cinta ‘kudus’nya di tolak.


Berputar ligat kotak memori ketika teman baik aku yang meminta pertolongan dan pendapat atas penyakit adiknya yang tersihir. Saat itu marah aku belum memuncak kerana berfikir mungkin lelaki itu kurang faham kenapa pelawaan untuk bercouple di tolak atau mungkin adiknya salah cara dalam menolak. Namun, setelah aku dipertemukan dengan dia 3 tahun lalu, dia yang bagiku cukup sabar dan lemah lembut, aku yakin, lelaki itu yang bersalah.


Dengan perwatakan sahabat ku ini yang lembut dan teramat pemalu lagi-lagi dengan lelaki, mungkin itu yang memukau pandangan jejaka. Pandangannya saat dia aku dan kakaknya (teman baikku) beriringan ke surau sentiasa tertunduk ke tanah, sedang aku yang melilau ke sekeliling dan sesekali menjeling ke arah dia dalam proses mengkaji dirinya. Namun saat itu keadaannya sedikit ‘baik’. Saat itu aku mengambil kesempatan berbual tentang kefahaman dan hukum hakam islam dengannya, ternyata dia bijak dan boleh aku katakan jauh lebih baik dari ku. Kagum. Ketenangan dan kesabaran yang terlihat berjaya menutup seksa jiwa dan sakit batinnya, jika orang melihatnya pasti tidak percaya yang dia sedang ‘sakit’ akibat panahan sihir.


Selesai SPM, keputusan cemerlangnya berjaya membawa dia ke matrikulasi taman ilmu dan budi, UIA dalam aliran sains fizikal. Namun, kesihatannya kembali terganggu dan memaksa dia sekali lagi menangguh pengajian, mengambil cuti 1 semester dek kerana gangguan itu yang bukan sahaja mengganggu fizikalnya, malah kecerdasan fikirannya. Bayangkan, ada saat dan ketika, fikirannya akan menjadi setaraf kanak-kanak yang hanya tahu dan faham aktiviti makan dan tidur. Kali ini fizikalnya menjadi bertambah teruk, pucat dan seakan berpenyakit leukemia. Namun wajahnya tak lekang dengan senyuman saat bertemu. Cumanya kali ini dia lambat memberi respon atas setiap sapaan, seolah-olah berfikir dahulu, dan atas sebab itu dia menjadi agak pendiam.


‘Nahwan macamana nak yakinkan mak ayah kami ya? Dia minta nak sambung darul quran, tapi mak ayah kami tak bagi… tolong bincang dengan mak ayah kami boleh?’ beritahu teman baik saya saat menceritakan perihal adiknya yang terpaksa berhenti belajar di matrikulasi uia.


Itu masalah yang mendepani mereka sejak dahulu. Sebenarnya, adik teman baik ku ini terlalu minat aliran agama, namun ibu bapanya terlalu memandang rendah kepada aliran agama yang mereka pernah katakan sebagai aliran yang tiada masa depan dan terkebelakang.


Alhamdulillah, akhirnya setelah kami berusaha, ibu bapanya bersetuju, dan setelah melalui ujian hafazan bagi kelayakan ke Darul Quran, dia berjaya mendapat tempat. Dua semester di sana, kesihatannya beransur pulih, gangguan semakin berkurang berkat dirinya rapat dengan kalam ALLAH swt.


Namun semenjak pertengahan tahun lalu, kakaknya yang merupakan teman baikku menyatakan dia sekali lagi terpaksa berehat beberapa semester kerana sihir itu datang lagi dan makin ‘kuat’. Pelbagai rawatan di usahakan. Namun sejak sebulan lalu aku selalu mendapat berita dia semakin teruk.


Satu yang mengkagumkan, kesakitannya jarang kelihatan melainkan rupa fizikalnya yang semakin nampak ‘terseksa’. Senyum sentiasa terukir, ketenangan sentiasa terzahir.


‘Alhamdulillah. Sakit ni ujian ALLAH swt. Bukan kita tak usaha kan, kita sedang usaha, selebihnya kita serah pada NYA. Hmm, lagipun, saya bahagia kak, sakit saya ni membawa perubahan hidup beragama pada makayah dan keluarga. Macam ni biaq sakit pun tak pa, hikmahnya mungkin bukan pada kesihatan saya, tapi pada iman dan ketaatan keluarga saya.’ Senyum. Senyap sunyi. Aku… kosong.


Itu katanya saat akalnya masih segar, kini perkhabaran dari kawan ku tidak lagi mampu membendung rasa sedih dan marah pada sang lelaki kejam itu. Dia, adik teman baikku, adik perempuan ku juga, sudah tidak tahu melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur. Akalnya seakan kosong, bila di tanya hanya mampu melihat dan diam. Bila di soal mahu makan dia angguk, bila ditanya perkara lain dia diam dan kaku, bila di tanya mahu sembahyang, matanya merah namun tiada lagu sendu.


Oh lelaki, maaf kerana aku biarkan amarah ini menguasai diri seketika, kerna bagi aku kamu pendusta cinta. Cinta itu fitrahnya suci, namun kelemahan mu mencalar hakikat kesucian itu. Tidakkah kamu punya akal untuk menilai baik buruk suatu tindakan? Tidakkah kamu punya hati untuk merasa belas? Oh, andai kamu dengar bertapa dia bersyukur atas kesakitannya itu mampu merubah iman keluarganya, tentu kamu tahu bertapa tulusnya dia akan memaafkan kamu jika kamu berubah.


Wahai lelaki yang fitrah kejadiannya sebagai imam pembimbing kaum hawa, sedarlah dalam diri mu tetap punya kebaikan dan terbuka luas untuk kamu berubah, jangan biarkan ia terhijab dengan perasaan mu yang yakin ku katakan ia hanya nafsu rakus semata. Zahirkan lah hidayah di dalam diri mu itu.


Wahai lelaki yang membuatkan aku berbahasa ‘aku’, biar kami tidak mampu melawan perlakuan mu di dunia walau setelah banyak usaha, namun, ingatlah balasan ALLAH di sana itu nanti adalah pasti!


“Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan sebagai seorang muslim.”
(QS. Ali ‘Imran [3] : 102).


My littre tears… O’Allah, You are the one who knows upon something behind, You are the one who permitted something to happen (kun fayakun!), may You granted us faith forever no matter what will happen and what we will faces on. To You we seeking for helps and to You we depends on.


Hasbunallahu wanikmal wakiil, nikmal maula, wanikmannasiir

.: Forum Berpaut Di dahan Cinta :.


p/s [nahwanNUR]: Jumpa nanti di sana insyaALLAH... apa-apa informasi lanjut boleh hubungi nombor yang berkenaan atau boleh juga pada saya ^__^

Tuesday, October 14, 2008

.: Saat Diri Terasa Dungu :.

Special dedication for my little new sister… dan semua sahabat dan sahabiah : D





Saat diri terasa dungu, hmm, erti kata lain ‘seakan lemah dan terkebelakang’, maka saat inilah rasanya setiap urat ke’rajin’an beranjakan hebat. Hebat untuk membuktikan ‘dungu itu bukan aku’. Lemah itu bukan saya. Yang terkebelakang itu bukan kita.



Betulke begitu? Atau begini…


Saat diri terasa dungu, semua nadi berdenyut perlahan. Longlai kerana terasa ‘aku memang dungu’, lemah itulah saya dan yang terkebelakang itu jugalah kita.


Saat ini, sudah syawal yang ke 11 dan diri ini masih terasa di dalam zon selesa. Terasa lemah segala urat nadi, namun bukan kerana diri terasa dungu, tetapi seakan terasa diri ini lengkap serba serbi, kuat dan outstanding (antonym kepada dungu. Kononnya! Padahal tidaklah dikatakan hebat pun). Tapi bukan atas pujian manusia, tetapi lebih kepada ke’perasan’an diri kerana suasana sekeliling seakan kosong tanpa momokan kedunguan diri.


Dahulu, sedari kecil, diri ini selalu di tekan oleh sekeliling dengan perkataan ‘dungu’. Engkau ‘dungu’. Aduh, seakan kejam bukan? Namun, realitinya, saat itulah terasa sangat gembira dan senyuman melebar.


Dahulu sewaktu darjah, di dalam adik beradik, prestasi pelajaran saya lah yang tercorot. Suatu hari sewaktu darjah 4, saya pernah di panggil kehadapan oleh guru matematik kerana kerja sekolah yang tidak di buat dan ketidakmampuan saya menjawab soalan di papan putih. Di tambah lagi perangai saya yang akan tidur setiap waktu kelas matematik dan hanya akan bangun untuk makan gula-gula dan habis saya akan kembali melelapkan mata. Sehingga angin komulunimbus cikgu hadir, saya akan tertarik kearah pusaran dan kepala saya menjadi mangsa permukaan papan putih. Pun selalu begitu, saya masih tidak serik. Sehingga suatu hari, cikgu bertemu mak dan menceritakan perihal saya. Sebenarnya saya tidak kisah, namun ada suatu perkataan dia yang mencucuk diri untuk merasa sangat dungu saat itu.


‘Mak meniaga, takkan anak tambah tolak yang biasa pun tak tahu!’.


Mak seperti biasa akan ‘membasuh’ saya lembut. Saya, masih wajah selamba. Sehingga hujung tahun masih wajah selamba yang membuatkan hati mereka-mereka yang selalu ‘membasuh’ saya berapi (mungkin). Suatu petang, mak pulang dari sekolah, membawa saya keropok. Tetapi wajahnya tetap selamba, mungkin membuat serangan balas kepada saya selama ini yang kononnya amat selamba. Mak berjaya membuat saya tidak tenang, sehingga memaksa saya bertanya kepada yop (abang sulong) perihal tabiat emak yang menghadiahkan saya keropok berserta wajahnya yang selamba.


‘Hmm..cikgu syahidatul jumpa mak pagi tadi, kata kamu dapat markah matematik tertinggi dalam kelas tahun ni. Dapatla naik kelas tahun depan, cikgu rekemen kan.’ Beritahu yop. Saat terasa dungu, saat itulah semangat saya memuncak. Dan saat itulah rasanya terasa sangat mahu membuktikan pada diri yang ‘kamu ni bukanlah dungu seperti depa kata’. Hmm, alahai emak. Alhamdulillah tahun 5 saya dapat naik kelas no. 5, kelas dua dari belakang (maknanya selama ni saya duduk di kelas terakhir. Hahaha, jangan tak percaya).


Dahulu ketika darjah 5, tangan semakin rancak menari dengan nombor, matematik semakin rapat dengan diri, otak semakin ligat menghafal kira-kira. Namun, perihal bacaan saya tinggalkan. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan agama saya anak tirikan. Menjadi ibu yang sangat kejam sehingga sanggup terus melupakan ‘anak-anak tiri’ saya. Ini menghasilkan kebencian keatas cikgu bahasa melayu saya, sehingga memandang saya pun dia tidak sudi. Tiang di luar kelas menjadi teman setia setiap kelas bahasa melayu. Kelas agama dan bahasa inggeris jarang mengena kerana ustaz muda lelaki dan cikgu India itu tahu ‘menguruskan’ pelajar bermasalah seperti saya. Takut punya pasal saya ‘memaksa’ diri ‘berlakon’ baik. Sehingga lah suatu hari cikgu bahasa melayu memanggil alang (abang di atas saya yang tua setahun dan berada di darjah 6), melepaskan serangan kepada saya di hadapan alang sambil membaling buku-bukutulis di muka saya.


‘Abang pelajar harapan, adik tak boleh di harap!’. Mencuka wajahnya, wajah saya masih selamba, wajah alang memang begitu, setenang air dikali (hehe). Padahal, hati saya ALLAH sahaja yang tahu takutnya pada hati manusia yang menyinga itu. Hmm…salah saya juga. ‘Esok suruh ayah kamu datang!’ pesan cikgu pada alang kerana pesannya melalui saya tidak pernah sampai kepada mak ayah.

Sewaktu rehat hari itu, seperti biasa saya akan makan bersama alang bekalan dari rumah.
‘Hmm, alang jangan bagitau makayah ye…ni orang bagi kamu makan habiskan’ saya cuba rasuah alang (ishish). Alang masih tenang sambil meneruskan suapannya. Wajah saya yang selamba bertukar belas. Habis bahagiannya alang diam seketika.


‘Hmm, alang tak kan bagitahu makayah sampai bila-bila, tapi janji…lepas ni buku ni dah tak melayang lagi macam tadi. Ni habiskan kamu punya…’ balas alang masih tenang seperti biasa dan menolak bahagian nasi goreng dan buku-buku tulis saya di hadapan saya. Dan percaya atau tidak sememangnya sampai sekarang makayah tidak tahu apa yang terjadi kerana rahsia kejap tersimpan di antara saya dan alang. Alhamdulillah ada hasilnya teguran alang yang makan dalam diri saya.


Tahun 6 pluto, 1996, saya berjaya menjadi salah seorang pelajar kelas tahun enam, kelas pertama di sekolah itu dan merupakan kelas ‘projek cemerlang upsr’ tahun itu. Mak dan alang membuat wajah selamba. Yop (abang sulung) juga yang menjadi pengkhabarnya. Hmm, alahai alang, aduhai emak. Alhamdulillah tahun 6 saya dapat naik dari kelas dua dari belakang kepada kelas pertama. Aduhai diri, engkau bukanlah sentiasa terkebelakang jika kau mahu!.

Malas saya tidak pernah hilang. Ini terbukti dengan keputusan PMR yang calar dengan pelbagai warna (not with flying colors, ya ALLAH). Saya hanya mampu mendapat 1 A dan yang lain… ‘Syukur alhamdulillah. Ada jugak A daripada takda kan? English pulak tu, jadi cikgu BI la anak kita lepas ni…’kata ayah lembut dan tenang, memuji atau menguji saya tidak pasti.


Dan alhamdulillah itu membolehkan saya mendapat tempat di sekolah teknik. Menghadapi subjek yang semakin ‘memualkan’ kerana memaksa saya menghadapi bahan bacaan yang banyak. Semangat masih merudum. Sehinggalah di pertengahan tahun tingkatan 4, diri terasa dungu kerana ‘sesuatu’. Perangai saya berpusing 360. Dungu teramat dungu sehingga memaksa saya menjadi seperti detektif cane (csi Miami). Dan masa-masa saya yang kosong digunakan untuk mengulangkaji dan alhamdulillah keputusan SPM membolehkan saya melangkah ke program matrikulasi. Cadangan awal mahu membuat persediaan ke jepun namun mungkin bukan rezeki saya.


Begitulah saya saat merasa dungu. Namun, aksaranya berbeza di arena yang semakin tinggi. Saat di u, tiada siapa yang boleh panggil kamu dungu, kerana jika dungu kamu tidak akan ke sana (ini kata pensyarah saya, wallahua’lam). Namun, polemik permainannya semakin ‘makan dalam’ sehingga memaksa diri berasa sentiasa dungu, semakin dungu, malah mungkin lebih daripada itu terutama sekali jika ilmu itu tiada sebarang manfaat selain hanya untuk pertaruhan peperiksaan. Ke’dungu’an ini yang sehingga memaksa diri menggagalkan diri. Pernah seorang pensyarah bertanya akan keputusan menggagalkan diri.


‘Awakkan dah dapat C-? kira lulus la tu Kalau repeat next sem awak jadi berat, silap hari bulan awak boleh extend semester dan tahun tau.’ Beritahunya.

‘Hm, masalah bukan pada credit atau markah tu encik. Masalahnya saya memang tak faham dan tak tau pun macamana nak aplikasikan dia. Nanti dah kerja payah, tak tertunai tanggungjawab dalam menuntut ilmu, tak terlaksana amanah dalam kerja ’ Wajah masih selamba.


Ilmu itu fitrahnya mulia kerana datangnya dari Sang Pencipta, namun ia mampu menjadi kotor dek kerana ke’dungu’an kita menghadam aklak dalam suatu korikulum sehingga sirna manfaat atas aplikasinya.


Keputusan kerana dungu telah mengepam injap seluruh badan untuk mengenal dan seterusnya berfungsi baik seperti sepatutnya setiap masa, bukan hanya ketika pemeriksaan kualiti oleh badan bertanggungjawab sahaja.

Itu cerita dahulu… saat ini? Membuat research bersendirian, seperti tiada tekanan. Semuanya terasa seakan syok sendiri. Nak kata ok, entahlah, nak kata tak ok, tak tahu juga. Entah bila terasa dungu, entah bila juga terasa luar biasa. Entah bila injap semangat mahu bergetar hebat, melangkah cepat. Semuanya seakan datar. Hmm, hidup memang begitu, kadangkala bila ‘kelemahan’ terzahir, tahu pula mahu berubah, saat ‘kebaikan’ terlihat, malas pula untuk terus melangkah. Adapun pula, ada juga saat ‘kelebihan’ menyinar, ligat diri gagah bergerak, dan saat ia sirna dan ‘kelemahan’ terdedah, pandai pula hati merajuk dan terus menyerah. Hmm, itulah hati dan diri, kalau mahu infiniti dayanya, kalau tidak mahu memang pelbagai pula alasannya.


Bak kata adik fahimah saya, ‘Kadangkala rasa semangat, namun melihat orang lain kurang kemahuan, rasa takut jadinya dan terus ia terkurung, dan kadang pulak, bila rasa semangat, tengok ramai pulak yang berkemahuan, pun rasa takut dan rendah diri untuk sama melangkah, hasilnya, tetap juga semangat terbantut.’


Pokoknya, apa sebenarnya keputusan kita! Saat diri merasa dungu, maka saat itulah paradigma melonjak, maka terus rasa mahu berubah (menjadi lebih baik), atau saat itulah jiwa kita berdarah dan terus berkeputusan untuk mengalah. Hmm, fikirlah!


Atau saat kita di zon selesa, semuanya kelihatan baik di pandangan manusia, saat pujian menghujani diri. Adakah itu semarak perjuangan kita? Atau berada di zon selesa ini membuatkan kita syok sendiri sehingga melemahkan saraf kemajuan kita dan menghasilkan kemunduran dalam diri?. Hmm, pilihlah!


Kerana keputusan di tangan kita. Yang memilih nya kita, namun, natijahnya tetap milik ALLAH swt. Itu sebabnya, walau di saat dungu, saat lemah saat terkebelakang saat miskin saat terpinggir, jangan lupa bahawa adanya ALLAH sebagai pengatur hidup kita. Jangan kita fakir dengan jiwa. Dan jika kita berada di saat hebat, saat gemilang, saat di hadapan dan di atas, saat kaya saat di junjung dan di sanjung, jangan lupa bahawa ALLAH pemilik segalanya. Jangan kita kaya dengan riak. Konklusinya, walau di mana kita berada teruslah zuhud pada dunia. Teruslah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik untuk diri sendiri dan pencipta. Setiap itu adalah ujian. Asy kur kum wa akfuru?! Pilihlah.


Abu Abbas, Abdullah bin Abbas berkata : Saya pernah berada di belakang Nabi pada suatu hari. Beliau bersabda;

Wahai anak saya hendak mengajarimu beberapa kalimat, Jagalah Allah niscaya Allah menjagamu, jagalah Allah niscaya engkau mendapatiNya bersamamu, jika engkau meminta, mintalah kepada Allah , jika engkau minta tolong, mintalah kepada Allah. Ketahuilah bahwasanya, jika umat manusia bersatu untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering (tintanya).


Jangan biarkan apapun menjadi pembunuh semangat kita untuk menjadi hambaNYA yang sebaik kemampuan. Ar ruhul jadid fi jasadil ummah!!



p/s [nahwanNUR]: Sudah berapa lama saya terasa seakan-akan berada di zon selesa yang menyebabkan diri merasa kurang selesa. Alhamdulillah, kedatangan aidilfitri lalu memberi ‘sumbangan’ dalam melonjakkan nadi saya dengan memberi saya sedikit peluang untuk merasa ‘dungu’ dengan menuntut ilmu dan insyaALLAH dapat menyumbang untuk terus maju. Maaf mak duit ku yang masuk macam air hasil huluran angpau raya, namun, dalam masa tidak sampai sejam ia juga deras mengalir keluar begitu sahaja. Moga ruh kental meneguk ilmu ALLAH dalam mengepalai pelayaran hidup ini dalam mencari redha dan kasih ALLAH menjadi milik anakmu, dan anak bangsa mu semua. Cita-cita ku, islam cemerlang, cita-cita ku islam tinggi menjulang...Amiin, amiin…amiin

Friday, October 10, 2008

.: Jernih :.


Jernih nya dari mata airmu
Sebening salju telaga rindu
Di lembah gunung rimba kencana
Mengalir ia tanpa henti

Bersaksikan kejora alam keriangan
Titis embun dingin ke bumi
Mekarlah rumpun hijau disirami kasih
Yang sejati penuh budi
Jernih salju bak syurgawi
Jadi pohon rimbun sampai akhir nanti

Di sebalik yang jernih tersimpul rahsia
Laluan yang penuh likuan
Cuma yang kelihatan
Satu keindahan yang dipuja
Menjadi ilham para pencinta
Teroka kala tanpa batasan
Menjadi cermin imbas berwajah
Seikhlas budi yang teguh berdiri

Bak air mengalir yang penuh halangan
Itu bukannya satu alasan
Di situ tersirat sebuah hakikat
Yang kelam jadi terang
Yang luka jadikan terubat
Keegoaan tersembunyi
Di lubuk hati suci...
Dan jernih...
(Dan mulus)

Di sebalik yang jernih tersimpul rahsia
Laluan yang penuh likuan
Cuma yang kelihatan
Satu keindahan yang dipuja
Menjadi ilham para pencinta
Teroka kalam tanpa batasan
Menjadi cermin imbas berwajah
Seikhlas budi yang teguh berdiri

.: Eid Mubarak! :.


Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )



Kad dari nahwanNUR yang tak seberapa

Rasanya tidak terlalu lewat untuk saya ucapkan selamat hari raya, dan atas kesedaran bahawa diri ini terlalu lemah, saya memohon beribu, berjuta dan infiniti kemaafan atas setiap salah silap perbuatan, kata samada yang saya sedari atau luar dari sedar saya, yang saya terniat atau langsung tidak punya niat.


Jazakallahu khair atas setiap ucapan, kad dari semua rakan blogger dan rakan maya dan rakan realiti. Namun saya yakin walau tanpa ucapan, kalian tetap mengingati ukhwah ini.


Sedikit pantun untuk semua:

Wadai Kipeng acuan peninian,

Karbau mandi bedarau di bandang,

Salah silap ayuh berilaan,

Hanya kulaan bisa di ganang


Berilaan leh! Berataanlah! (Kulaan ngiring napa tekurihing :D)


p/s [nahwanNUR]: Taqaballahu minna waminkum. Minal ‘aidin wal faizin. Kullu ‘Am wa antum bikhair ala tuhibbu wa tardha. Moga Ramadhan yang berlalu bisa menjadi madrasah tarbiyyah terbaik buat jiwa dan diri kita dan syawal yang hadir penuh keberkatan hasil kejayaan sepanjang pengajian ramadhan kita.

.: Cameron, GIS & Prof. Dr. Ahris :.


Hari ini…tiga tajuk berbeza yang saya fikirkan dalam tiga sela waktu berlainan, namun hari ini, ada suatu perkara yang mendatang sehingga telah memaksa saya menyatukan tiga tajuk yang sebenarnya punya hubung kait untuk mencari suatu nilai yang mungkin bermakna untuk sebuah kehidupan. Tiga tajuk ini tidak lebih hanyalah sebuah Kembara Landskap Kehidupan yang saya cuba lakarkan nilainya hanya dari sudut saya sendiri dan semua punya hak untuk menilai dari sudut pandangan kalian kembali.


CAMERON: Terbelakah nasib mereka?


‘Kita lah arkitek landskap kehidupan’

Tegas ustaz itu ketika memberi tazkirah ringkas pada sela masa solat taraweh ramadhan yang baru sahaja berlalu. Saya tersenyum. Jika dahulu, saat mengetahui keputusan kemasukan ke universiti, seharian saya mengurung diri di dalam bilik, memboikot keputusan dari kementerian. Bila difikirkan kembali kini, terasa bodoh, kerana marahkan keputusan dari kementerian, saya memboikot diri dan keluarga. Aduhh.. Bukan apa, kerana bidang landskap arsitektur tidak langsung pernah saya bayangkan dan idamkan kerana minat saya lebih kepada science stream.


Hari ini, atas pengalaman yang telah saya lalui, melibatkan diri dalam bidang landskap arsitektur turut menyumbang dan salah satu platform terbaik buat menjadi seorang pencorak landskap kehidupan. Bidang landskap tidak lah terhad kepada seni hiasan pokok dan tanaman, namun lebih meluas daripada itu. Salah satu aktiviti kami ketika belajar adalah lawatan dan kajian lapangan (site visit). Waktu inilah kita benar-benar boleh menyelami dan memahami sebenar landskap kehidupan terutama sekali di Malaysia.


Di dalam banyak-banyak lawatan lapangan, paling yang saya tidak mampu lupakan adalah lawatan ke sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang agak terkenal di Malaysia, iaitu Cameron Highland. Sebenarnya kajian kami melibatkan usaha sama dengan pihak berkuasa tempatan.


Sepanjang seminggu di sana, 2 hingga 3 hari saya bersama 3 orang rakan dan 4 orang pensyarah kami menjadi wakil PBT dan jabatan hal ehwal orang asli (JHEOA) pergi ke beberapa pos (perkampungan orang asli) bagi menjalankan kajian dan menerangkan kepada penduduk peribumi ini tentang projek penempatan semula perkampungan mereka. Atas sebab apa? Hmm, sebenarnya untuk projek menaik taraf sistem pengangkutan (transportation) sebagai salah satu projek pembangunan pelan pelancongan CH. Lihatlah siapa mangsanya? Tawaran buat mereka bukan lah tidak lumayan, namun di sebalik semua itu, ada suatu yang merisaukan mereka, iaitu kehilangan nilai kehidupan dan cara hidup mereka yang mampu membawa kerosakan nilai moral kepada generasi mereka. Itu yang mereka suarakan kepada kami. Lihatlah bertapa mereka amat melihat kepada pembangunan nilai kehidupan berbanding pembangunan fizikal yang mana di lihat mampu mengancam sistem sosial mereka. Bagaimana kita?


‘Assalamualaikum sister.’ Sekumpulan kanak-kanak di dalam pagar pelbagai usia antara 9-17 tahun (mungkin) menegur riang saya dan sahabat saya yang ketika itu di tugaskan mengambil gambar sekitar Pos Leyar (perkampungan ke 2 selepas pos mensun) yang kami lawati. Pos Leyar merupakan pusat kepada segala pos yang mana memiliki kedai mini (kecil dan milik kaum lain), pusat budaya (rumah panjang orang asli) dan sekolah berasrama. Rupanya tempat itu adalah sekolah berasrama anak-anak orang asli. Ingatkan kami tadi kenapa mereka terkurung. Asrama yang hanya mempunyai 2 blok setingkat seperti bangunan kelas, dan satu padang sebesar gelanggang tennis.Cukup ringkas. Terdapat lebih kurang 30-40orang kanak-kanak yang sedang beriadah.


‘Waalaikumsalam…apa khabar? sekolah darjah berapa je semua ni?’ jawab saya dan terus dengan misi kami mengumpul data melalui temuramah. Mereka kelihatan sangat riang. Kenapa? Kerana menerima tetamu atau…? Saya terharu, seronok, sedih….kosong.

‘Hmm, sister english please! We also learn English…’ minta seorang kanak-kanak (semua pelajar-pelajar tersebut adalah lelaki), tersenyum gembira.

‘Oh ok, sorry… how old are u..all?’ balas sahabat saya. ‘Die cakap English dengan kita la!!’. Mereka melompat gembira dan ramai kanak-kanak yang sedang bermain berkerumun sekitar pagar. Oh kami terpisah dek pagar. Masing-masing menjawab umur dan tahun pengajian. Gembira.

‘Sisters, are u both muslim?’ soal seorang dari mereka. Kami mengangguk senyum.

‘Apalah, diorangkan bertudung!’ tukas seseorang lain. Kami tersenyum.

‘Wah, we are all muslim too. This school have a lot of muslim, cikgu also muslim…ops, teachers’ terang seorang kanak-kanak lingkungan 12 tahun mungkin. Mereka terlalu gembira. Saya menjadi semakin terharu.

‘Where’s the teachers?’ soal saya kembali. Masing-masing menunjukkan sekumpulan 4-5 orang lelaki dewasa berdiri di sisi pintu asrama.

‘Itu semua cikgu la, diorang ajar kami semayang, ajar macam-macam yang makayah pun tak tahu…hehe’ yang lain mengangguk.

‘Lelaki perempuan takleh salam, haram…’ beritahu mereka. Kami tersenyum.

‘Diorang orang ‘sini’ juga?’ soal kawan saya. Mereka menggeleng. ‘Diorang macam sisters’ jawab mereka memaksudkan bahawa guru-guru itu bukan kaum peribumi seperti mereka.

‘Takda perempuan belajar sini?’ soal saya lagi.

Ada, tapi tak boleh duduk asrama, kena tolong buat kerja kat rumah, masak!’ terang mereka. Kami mengangguk. Masih kuat cara hidup mereka. Di sana, perempuan yang melakukan kerja rumah, bukan sekadar memasak, namun pergi mencari kayu api, mengambil air (memandangkan bekalan air belum cukup ada dan jika ada tidak bersih bagi mereka). Jadi tidak hairanlah tadi semasa berada di pos mensun, kami hanya dapat menemubual kaum lelaki dan saat pulang kami bertembung dengan sekumpulan kaum ibu yang setiapnya mendukung 3 batang buluh yang panjangnya seakan bas sekolah dan berdiameter lebih kurang 10cm. Mengkagumkan bukan?


Perbualan dengan mereka terpaksa berakhir di situ memandangkan pensyarah kami sudah melambai menganjak pulang kerana jam sudah menunjukkan 7 malam. Berat namun kami tetap perlu pulang. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Banyak yang kami fahami dari lawatan ini. Walau lelah memanjat bukit curam menuju rumah tok batin sehingga ada yang tergelincir, lelah melalui jalan 4wheeldrive yang memakan masa 4-5 jam, namun ada sesuatu yang mengajar saya tentang erti sebenar kehidupan dan pentingnya erti berjemaah dan mengambil berat tentang semua golongan.

Pos orang asli yang pertama, gambar pasukan kajian saya


Pos Leryar. 2 pensyarah saya bersama tok batin (bukan islam) dan wakil JHEOA
Dia kata, 'otak monyet bakar sedap woo..' huhu. Nak try?


Pos Mensun, paling tinggi kedudukannya di atas bukit. Jurubahasa JHEOA, 2 pensyarah saya, tok batin (islam) dan pegawai JHEOA


Pusat kaji cuaca Cameron Highland

Terbelakah sebenarnya kebajikan mereka selama ini? Bagaimana dengan dakwah islam, adakah sampai kepada mereka? Fikirkanlah wahai mereka yang bertanggungjawab untuk memikirkan!!



GIS dan aplikasi


Jika di lihat, sebenarnya saya boleh dikategorikan sebagai golongan yang menyambung pengajian bukan atas dasar minat. Kalau di awal pengajian tentu semua dapat membaca ‘keterpaksaan’ di wajah saya setiap saat. Namun, atas kepercayaan bahawa adanya ALLAH sebagai pengatur hidup kita, dan sesungguhnya DIA maha mengetahui yang terbaik buat hamba-hambaNYA, maka saya berusaha mencari suatu ‘arah’ di dalam bidang ini.


Sehinggalah saat saya berada di akhir tahun 2 semester 1, ada ssatu subjek yang menarik perhatian saya. Geographical Information System (GIS) yang secara mudahnya (untuk kefahaman umum) merupakan suatu sistem yang membantu dalam merangka sebuah pembangunan berdasarkan keperluan semasa yang menitik beratkan geografi sesuatu kawasan. Ini boleh dilihat sebagai satu daripada program pembangunan mampan yang boleh membantu kepada pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem semasa namun dalam masa yang sama terdapat pembangunan bagi menampung populasi dan kehendak semasa atau kata lainnya bersebab.


Maksud al-hadith:

‘He, who destroy a tree without any reason, GOD will put him in a hell’


Namun, apa yang membuatkan subjek ini menjadi subjek kesukaan saya adalah sistem database dan analisis yang merangka, mengumpul dan menganilisa data-data yang diperolehi, GIS Application. Memandangkan lebih kurang 80% melibatkan penggunaan komputer, maka ia sememangnya menepati minat saya sedari dulu, iaitu komputer.


Kajian kami selama lebih kurang seminggu di Cameron Highland (seperti di atas) memerlukan setip data di kumpul, di analisis dan di simpulkan juga melalui perisian komputer membuatkan semangat saya luar dari biasa. Dan atas setiap usaha itu, Alhamdulillah buat pertama kalinya saya berjaya memperolehi keputusan memberangsangkan buat subjek studio yang memakan masa 6jam kredit.


Namun atas semua ini, saya tidak akan mampu melupakan seseorang yang amat berjasa mengajar dan memperkenalkan saya yang sebelum ini buta dengan sistem database dan penilaian geografi dunia, iaitu Professor Dr. Ahris bin Yaakub.


Seorang yang bagi saya cukup humble dan simple, dengan pakaian biasanya baju kemeja kotak, seluar slack dan bercapal. Ringkas, namun tiada siapa tahu yang beliau merupakan salah seorang pengasas pendidikan GIS di MALAYSIA. Menjadi panel penilaian sistem pendidikan dan silibus bagi bidang Perancangan Bandar dan Wilayah (URP) seluruh Malaysia, merupakan pengasas dan pemilik rangkaian syarikat URP (Specialize in GIS) dan penasihat bagi beberapa buah majlis perbandaran sekitar Malaysia, dan menjadi panel penilai akademik bagi universiti antarabangsa seperti Jepun. Bagi saya pencapaian itu sudah cukup tinggi dan banyak sumbangannya dari segi akademik dan pembangunan. Namun, bagi beliau, itu tiada apa-apa kecuali suatu amanah kecil sebagai khalifah (as what he ever told us). Perkara-perkara dan posisi beliau yang saya nyatakan di atas pun kami hanya tahu dari mulut pensyarah lain. Beliau sendiri tidak pernah memberi tahu, cuma kesibukan beliau sahaja yang kelihatan.


Sifat tegas dalam menjaga disiplin ilmu beliau yang berpegang kepada syariat islam amat saya kagumi dan hormati. Ilmu itu datang berkatnya dengan disiplin. Disiplin ilmu itu terletak dalam disiplin kita beragama. Itu pendirian beliau dan itu yang selalu ditekankan. Lambat ke kelas itu maknanya tidak amanah dengan masa yang ALLAH beri untuk suatu tugasan, tidak berpakaian kemas itu bukan suatu etika yang memenuhi standard seorang islam seperti yang digariskan al-quran dan sunnah. 2 perkara yang selalu dipandang enteng oleh pelajar (terutamanya remaja) itu sungguh sensitif bagi beliau dan bisa membuka ruang ‘tarkirah’ di dalam kelas sebelum masuk kepada subjek berkaitan. Walau kadangkala ‘perkara kecil’ itu yang membuatkan pelajar tidak selesa dengan beliau, namun, sebenarnya itu disiplin yang membina asas dalam berakhlak di dalam ilmu.


Siapa sangka masa amat cepat berlalu. Setahun yang lepas, sebelum menyambung master di sini sebenarnya saya bercadang untuk menyambung di u pertama saya dalam bidang GIS untuk mengkaji kawasan reklamasi (reclamation), dan di bawah kelolaan prof. dr. ahris. Banyak informasi awal yang saya dapat. Namun, perancangan ALLAH jua yang terbaik. Dan takdirnya membawa nahwanNUR di taman Ilmu dan Budi.


Dan hari ini (9 Ockt), tepat jam 630pm saya mendapat berita pemergian Prof. Dr. Ahris bin Yaakub awal pagi tadi. Berita dari seorang bekas pensyarah saya melalui SMS benar-benar meragut sedikit ketenangan hati dan melonjak motor ingatan saya bergerak mengulangi potret kenangan dan sumbangan beliau di saat pengajian saya yang menyumbang kepada anugerah pendidikan buat saya semester itu dan peningkatan cgpa saya bagi semester seterusnya. Dan seterusnya melonjak semangat saya untuk terus menyingkap ‘ilmu landskap arsitektur’ yang merupakan suatu penggerak dan pencorak landskap kehidupan manusia.


InsyaALLAH jenazah beliau akan segera di bawa pulang dari Christchurch, New Zealand dengan kadar segera (saya akan inform kemudian) untuk di semadikan di sini (Johor, Malaysia).


Sungguh, janji ALLAH itu pasti.


Buat sahabat-sahabat yang mengenali allahyarham Prof. Dr. Ahris Yaakub, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, dan yang pernah mengenali beliau secara langsung atau tidak langsung, lama atau sekejap, atau sesiapa sahaja walau tidak mengenali beliau, sama-sama kita sedekahkan al-fatihah buat beliau.


p/s [nahwanNUR]: Saya tidak dapat melawat ‘arwah’ dan keluarga kerana hujung minggu ini terlalu banyak aktiviti di kampus dan lapangan yang perlu di hadiri. Apapun, doa itu jua yang paling berharga, dan setiap ilmu yang beliau sampaikan itu sama-sama kita gunakan buat pembangunan umat dan agama, bukan sebagai pemusnah kepada pembangunan tamadun dan akhlak islam itu sendiri. Buat yang lain, walau beliau bukan berdiri di dalam bidang agama (bukan ulama’), namun, harus di ingat bahawa setiap ilmu itu adalah milik ALLAH dan sebahagian dari cabang agama, dan kitalah yang mencoraknya supaya ilmu itu manfaat atau tidak. Jadi setiap yang menyampaikan ilmu itu juga adalah pembawa wadah agama. Kata-kata hukamak, 'guru itu pewaris ulama’.


Wallahua’lam.


Comeron….GIS…Terima kasih Prof. Dr. Ahris


Perginya prof. kami redhai dan insyaALLAH dalam ketenangan dan membawa setiap amalan kebaikan dan ilmu sebagai harta berharga di dunia.


AL-FATIHAH

 
design by suckmylolly.com