Mak Ayah dan ‘Kedewasaan’ Kita

by - 12:32 PM

Waktu : 2.00am, 08 Muharram 1429, 17 JAN 2008

Ia menciptakan kamu dari diri Yang satu (Adam), kemudian ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). ia menciptakan kamu Dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana Yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan Yang mutlak; tiada Tuhan melainkan dia; oleh itu Bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)? ]


~Az-Zumar, Ayat 6~


Bismillahirrahmannirrahim.. Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Alhamdulillah seperti kebiasaan, jika tiada urusan pada hari minggu, saya akan pulang ke kampung di ipoh, perak. Bertemu keluarga tercinta. Kami adik beradik memang begini, jika berkesempatan akan pulang ke kampung, bertemu mak dan ayah, lebih mudah melepaskan lelah, tekanan dan lebih berbaloi.


Motivasi Ayah

Ketibaan saya dan abang disambut senyuman ayah dari halaman rumah. Setia ayah berbakti pada tanah sekangkang kera di depan rumah kami. Tak saya nafikan ayah memang minat akan seni hiasan taman. Dan beberapa kali dia menyuruh saya mereka satu taman untuk rumah kami berdasarkan apa yang sudah saya pelajari..namun seringkali tidak masuk dengan jiwanya. Saya tak salahkan ayah malah saya jadi kagum kerana landskap hiasannya jauh lebih baik dari rekaan saya sebelum-sebelum ini. Hai..kenapalah kuahnya tak tertumpah-tumpah ke nasi saya nih.

Pondok ayah

‘Itu kayu yang ayah beli dulu ke?’ soal saya sewaktu makan malam. Ayah kelihatan teruja untuk bercerita lebih lanjut tentang hasil kerjanya.

‘Itu tadi yang ayah mula-mula nak tanya..ok tak pondok ayah tu?’ soalnya sambil tersenyum. ‘Lebih dari ok la tu…’ jawab saya sambil senyum penuh bangga dengan hasil kerja ayah. Ayah nampak sangat gembira. Bukan bangga atas pujian saya tapi puas hati sebab hasil kerja nya dihargai anak-anak. Bagi saya pujian saya bukan untuk mengambil hati tapi tanda kami cukup menghargai mereka selama ini. ‘Ha tak payah tunggu dilot buat..’ usik kakak saya. Saya hanya tersenyum. Bukan terasa.. tapi mengiyakan.

Sedari awal saya mengambil bidang ni ayah lah yang banyak bagi semangat, pandangan dan idea. Adik-beradik yang lain ada juga, cuma mereka kurang merangsang dan memberi idea kerana bidang mereka lebih kearah ‘science stream’ sedangkan bidang saya lebih mengarah kepada ‘art science’. Memang saya suka bersembang dengan ayah hal-hal menghias rumah dan halaman. Pengetahuan dan kreativiti ayah jauh lebih baik dari saya. Cuma lebihnya saya hanyalah pada sekeping ijazah yang mengiktiraf pengetahuan saya namun serasanya masih tak mampu nak lawan idea ayah.

‘nanti kita buat kolam pula ye? Kali ni kamu design ayah buat..jimat sikit. Kalau tak mau cecah ribu tu..’ cadang ayah.

‘hmm… nanti kita beli pam je.. Dalam 100-200 pun dah boleh dapat kat kedai..’ tambah saya. InsyaALLAH saya akan cuba buat kolam pertama dengan ayah. Moga-moga dipermudahkan oleh ALLAH swt.

hasil kerja mak ngan ayah


Saya tahu itu bukan sahaja satu cadangan, tapi, perancangan. Perancangan lebih kepada rangsangan. Rangsangan buat saya lebih gigih dalam bidang ini. Itulah ayah yang saya kenal. Ayah bukanlah yang jenis menjatuhkan mahupun memberikan rangsangan secara agresif atau ‘reverse psichology’, tapi cara ayah lebih kepada galakan positif dan pujian. Teringat saya dahulu-dahulu, saya anggap sebagai zaman ‘mentah’ saya, malas belajar, malas segala-galanya. Keputusan peperiksaan pmr tidak menggalakkan, sangat tidak menggalakkan. Namun, ayah tetap dengan senyuman sambil mengusap kepala saya. Saat itu saya tahu bahawa ayah bukanlah mengharapkan keputusan cemerlang, cuma mahu yang terbaik bagi saya tanpa paksaan, tetapi dari kesedaran sendiri.

Pernah suatu ketika masih belajar diperingkat ijazah, perasaan saya ketika itu sangat-sangat terganggu sehingga membuat saya berkeputusan untuk pulang ke kampung walau ketika itu sarat dengan tugasan dan aktiviti lain. Saya balik mengejut, talifon ayah minta di ambil ketika sudah tiba di stesen bas ipoh. Saya tahu mak dan ayah terkejut namun mereka masih mampu berlagak biasa. Akibat tekanan waktu itu saya tidak banyak bercakap, tidak banyak ketawa, bertanya khabar kemudian diam tanpa ada cerita tambahan seperti biasa saya pulang ke kampung, tidak banyak bercerita. Saya diam untuk cuba sembunyi tekanan yang saya hadapi, namun naluri ibu bapa lebih kuat agaknya. Dua hari kemudian, saya terpaksa pulang ke kampus kerana ada kuliah hari berikutnya. Dalam perjalanan menghantar saya ke stesen bas, ayah bersuara, serius tapi tetap lembut seperti biasa.


‘Ayah tau kamu tertekan. Sabar banyak-banyak, jangan lupa solat dan doa banyak-banyak. Biasa lah belajar pun jihad. Dan jalan jihad pastinya berduri. Kami tak mampu nak jenguk kamu selalu dekat sana, sekali kami lepaskan, kami serah kan kamu sebulatnya pada ALLAH swt. Mengadu padaNYA, DIA sentiasa mendengar. Jangan tension-tension. Doa mak ayah selalu dengan kamu walau tubuh kami tak...mak dengan ayah sentiasa yakin dengan dilah, dengan anak-anak’.

Sungguh, kata-kata ayah perangsang saya selama ini. Mak ayah motivator utama saya. Mereka sumber semangat saya. Mereka kekuatan saya. Mereka lah inspirasi saya. Cuma saya kurang faham kenapa kadangkala, atas atau bawah sedar saya, saya terkadang melukai hati mereka. Ya Allah, moga dosa-dosa saya diampunkan dan semoga KAU kasihi ibubapa kami seperti mana mereka mengasihi kami sepenuh hati mereka tanpa sedikit pun berbelah bagi.

Kita dengan ‘kedewasaan’

Buku ‘Life is an open secret’ karya Zabrina A. Bakar, sudah saya baca melebihi 50%. Pembukaannya telah cukup buat saya semakin kurang sabar mengenangkan cerita kita sebagai remaja dan ‘kedewasaan’ kita yang mengenepikan ibu bapa. Bacaan saya mengingatkan pada perbualan saya dengan seseorang yang dah pun bergelar ibu.

‘Sekarang ni, mak ayah pulak yang takut pada anak-anak….’ Katanya dalam nada sayu. Saya yang mendengar pun sudah terasa, walau saya belum berumahtangga, tapi sayu saya kerana memikirkan adakah saya tergolong dikalangan anak yang ‘ditakuti’ ibubapa sendiri… nauzubillahiminzalik. Moga diampunkan setiap dosa-dosa saya terhadap mereka. Dia terus sebak tanpa meneruskan bicara. Sedari dulu kelemahan saya yang berjaya saya kenalpasti adalah, saya pantang lihat orang mengalirkan air mata, atas sebab apa sekalipun, saya akan turut serta. Takkan saya pun nak menangis depan makcik ni? Saya cuba tahan sebaik mungkin. Membiarkan dia dengan cerita mengenai anak-anaknya. Cerita seperti ini banyak kali saya dengar. Sedih dan marah bercampur baur.

Seorang ibu sentiasa berfikir dua kali, pertama untuk dirinya, dan kedua buat anak tercinta. Namun, seorang anak, biasanya sentiasa memikirkan diri sendiri dan berkehendak si ibu menuruti fikirannya.

Kenapa kita sekarang hingga sanggup mengkhianati kepercayaan mak ayah kepada kita? Berapa banyak anak-anak remaja wanita yang sanggup membuang ibu bapa demi teman lelaki? Berapa banyak yang membuang keluarga demi memenuhi kehendak dan keperluan ‘kedewasaan’ diri? Lupakah mereka dengan bisikan semangat ibu bapa selama ini? Lupakah kita dengan rangsangan mak ayah saat kita jatuh tersungkur? Lupakah kita pada mak ayah yang sentiasa tersenyum dengan kegagalan dan kelemahan kita saat teman lain mungkin mencemuh dan memandang hina pada kita?

Dimana kita saat mereka memerlukan kita bukan untuk menuntut balasan, namun amat memerlukan perhatian kita dek kerana keuzuran? Berapa ramai yang sanggup memimpin ibu bapa yang uzur ini tanpa mencebik dan mengeluh sedikit pun? Tanpa alasan walau dalam kesibukan yang menghambat? Lupakah kita pada ibu bapa yang mengusap pasir dan kotoran pada siku dan lutut kita saat kita terjatuh ketika mula bertatih dan saat belajar mengayuh basikal? Lupakah kita pada ibu yang berjaga kerana tangisan kita?

Aduh...apakah ada kekurangan atas didikan yang mereka berikan ke atas kita sehingga kita lupa akan jasa-jasa mereka? Masih relevankah menyalahkan mereka setelah begitu banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita, bukan kita seorang, tetapi kepada adik beradik yang lain? Tidak, tidak ya ALLAH. Mana mungkin saya menyalahkan mak dan ayah atas keterlanjuran saya dan adik beradik lain hari ini. Itu semua sesungguhnya kelemahan saya sendiri dan kita sendiri dalam memahami ajaran mereka tentang agama ALLAH swt. Itu semua berpunca atas ego kita dengan ‘kedewasaan’ kita kononnya dan kemungkinan atas ketinggian ilmu kita berbanding mereka. Apa gunanya ilmu kita jika kita tidak beramal kepada orang tua yang banyak berjasa sehingga kita berada ditahap sekarang. Itu salah kami ya ALLAH.. Salah kita !!


23. Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).


24. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

~Surah Al-Israa’, Ayat 23-24~


Mari sama-sama kita muhasabah sendiri ‘keterlanjuran’ kita terhadap kedua ibu bapa kita dek kerana sikap ‘kedewasaan’ kita sebelum terlambat. Mohon maaf sentiasa. Tidak perlu malu menyatakan sayang dan cinta pada mereka, dan menunjukkan nya melalui pelukan mahupun ciuman pada bila-bila masa sekalipun, biarlah dikatakan manja atau ‘mengada’, kerana kelak kita tidak perlu menyesal atas keterlewatan untuk berbuat demikian atas sebujur tubuh kaku tanpa sedikit balasan pun. Sebelum terlambat, balas lah kasih mereka semoga kelak pemergian mereka dalam ketenangan setelah sempat merasakan balasan kasih sayang daripada kita semula. Uhibbu usrati!!

You May Also Like

0 komen

Komen. Terima kasih.