.: Memahami Spirit Dakwah :.

by - 1:40 PM


‘Seonggok kemanusiaan terkapar, siapa yang mengaku bertanggungjawab? Bila semua menghindar, biarlah saya yang menaggungnya, semua, atau sebahagiannya…’


~Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah~




Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH swt, Tuhan yang mengizinkan hambaNYA ini bertatih meneruskan langkah di bumi ini, selawat dan salam buat pembawa rahmat seluruh alam, Rasulullah saw yang menerangkan kita semua dengan kebenaran islam. Sedar tidak sedar, kita telah pun menempuhi 1/3 ramadhan, bulan yang sepatutnya manusia berlumba mengerjakan ibadah, namun tidak semua sedar tujuan dan hala pengibadahan kita. Sekadar ritual ramadhan atau memang benar-benar mahu dan tahu akan anugerah atas kebesaran dan kemurahan ALLAH swt buat hambaNYA?


Permulaan ramadhan saya kali ini bermula bersama keluarga tercinta di Perak, namun hanya di hari pertama. Seterusnya hingga kini saya meniti ramadhan bersama kesibukan pengajian memandangkan hari-hari penting semakin tiba. Hari presentasi. Namun, sedikit kesal kerana saya tidak mampu untuk memenuhi undangan sahabat saya untuk bersama membimbing usrah dan tadarus remaja setiap sabtu dan ahad memandangkan ada kerja ‘ringan’ yang sudah saya terjanji sedari awal. Ringan, terasa jika mahu menimbang amal ibadah dan urusan duniawi dan pengajian, terasa ia sangat ringan, entah apa lebih-lebihan yang saya lakukan. Moga ALLAH ampunkan saya dan kita semua yang hina dina. Terasa ke kalbu saat membaca entri sahabiah blogger, albazrah tentang Jut bi Lutfik. Apapun, tiada niat mahu membincangkan ini lebih lanjut.


Hampir 3 minggu lalu saya berjaya memiliki Vcd ‘Sang Murabbi’ dari seorang sahabiah blogger, adik Nihlah yang di hantar dari rakan blogger dari seberang. Sebelum ini saya telah mengulas awal melalui pemerhatian dari trailer nya. Boleh dilihat di sini...


Cerita ini cukup untuk saya katakan sebagai ringkas, namun sarat dengan fakta buat dakwah dan tarbiyyah, lalu tidak sedikit pun punya ruang untuk lalai atas kesaksian cinta duniawi. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan filem ‘ayat-ayat cinta’ yang sedikit meringankan kompromi idealismi dan pendekatan barat. Namun bak kata sahabiah saya, ia boleh dikira berjaya untuk permulaan dakwah kepada golongan ‘biasa-biasa’.



Dakwah dalam dua entity yang berbeza


Di dalam filem Sang Murabbi, Dakwah merupakan ‘keypoint’ utama dan intipati penting kepada pembinaan jalan cerita. Di ambil dari kisah sebenar seorang Syaikut Tarbiyyah di bumi Indonesia dan pejuang dakwah bagi Partai Keadilan Sejahtera (PKS) [yang jika di lihat sebaris dengan PAS Malaysia serasa saya dari segi wadah perjuangannya], penekanan ke atas tanggungjawab bagi setiap manusia tidak mesti tidak tetap perlu berdakwah. Jelas sedari sekolah, bila di tanya oleh sesiapa tentang cita-citanya, beliau pantas dan yakin menjawab citanya sebagai seorang guru. Ya, Guru tidak dapat di nafikan sebagai pewaris ulama’ menyusuri kesinambungan usaha menyampaikan ilmu kepada manusia. Hidup dan ilmunya tidak untuk diri sendiri tetapi buat semua.


Saya teringat beberapa minggu lepas ketika bersama ustazah engineer dalam program usrah remaja, ketika memperkatakan tentang matlamat. Apakah matlamat saya? Oh, apakah matlamat anda? Dan apakah matlamat kita?. Memperkatakan tentang ini, saya teringat matlamat asal saya membina blog ini. Memandang kan saya bukanlah jenis yang outspoken, tidak biasa untuk aktif melontar idea dan pandangan dalam dunia dakwah dan tarbiyyah yang nyata, maka saya bina ini untuk suatu usaha menyampaikan atas semangat ‘mahu’ setelah ‘tahu’. Saya selesa tiada yang mengenali lantas tidak seorang sahabat yang mengenali tahu aktiviti maya saya ini sebelum ini. Dahulu, saya hanya tahu ‘menerima’, duduk dalam kalangan mad’u, golongan yang di pimpin, namun lama kelamaan setelah ada yang bertanya, perlahan saya ‘memberi’. Namun saya sedar tidak banyak dan terkira bilangannya berbanding kalian. Muslimah hari esok, bukan hanya hidup untuk diri sendiri, namun, hidupnya untuk sekalian manusia, itu matlamat jangka panjang. Moga ALLAH mudahkan urusan kita.


Apapun, sebenarnya hidup kita ini hakikatnya terdiri daripada 2 entiti yang berbeza namun harus arif di selaraskan. Dua entiti tersebut adalah hakikat kita sebagai hamba dan khalifah ALLAH swt. Memahami 2 entiti ini secara jelas boleh di gambarkan kita sebagai da’ie dan juga sebagai mad’u. Kita sebagai da’ie sentiasa berusaha menyampaikan dakwah secara langsung melalui aktiviti tertentu dan secara tidak langsung melalui perbuatan dan perbualan. Dalam masa yang sama, kita sebagai hamba harus akur kekurangan diri yang kadangkala tidak tersedar lalu perlunya manusia lain di sisi untuk menegur, jadi seharusnya kita sentiasa terbuka hati menjadi mad’u kepada yang lain. Menerima teguran dengan sebaiknya dan bersabar di atas sabar atas jalan dakwah yang kita lalui, yang tentu terlalu banyak ranjau cubaannya.




Jadi seharusnya sebagai manusia kita punya kesedian untuk sama-sama dalam mentarbiyyah dan dalam masa yang sama terbuka untuk di tarbiyyah.




Dakwah akar umbi

Suatu perkara yang amat menarik untuk di fokuskan mengenai cerita ini ialah dakwah yang bermula dari akar umbi dan menyeluruh. Kata-kata almarhum ustaz rahmat di atas seperti yang di pertonton di dalam filem ini. Usaha dakwah beliau yang bermula dengan realiti kehidupan masyarakat setempat yang masih terlena dengan mimpi indah keseronokan dunia tanpa jelas nyata matlamat akhirat. Method dan pendekatan dakwah juga terlihat begitu realistik dan dekat ke hati sekalian lapisan dan kefahaman serta budaya. Ke seloroh pelosok kehidupan beliau cuba salami lantas berdakwah sehingga mampu membawa kesedaran kepada beberapa kelompok.


Tidak memilih bulu, pergilah kepada realiti masyarakat kita sekarang, kebejatan gejala sosial dan kehidupan berpaksikan kefahaman hedonisme amat memerlukan pemerhatian para da’ie. Jangan hanya duduk didalam golongan yang sememangnya berada di dalam zon selesa dalam fikrah islam. Duduklah dan memahami mereka, beritahulah supaya mereka tahu, pujuklah supaya mereka mahu dengan islam yang syumul bukan hanya nama.



Keperibadian membentuk keyakinan di dalam dakwah


Suatu kekaguman timbul walau tanpa mengenali Almarhum ustaz hanya melalui filem ini adalah keperibadian beliau yang sukar dilihat di kalangan pendakwah sekarang. Entah kenapa saya menggambarkan beliau seperti tuan guru menteri besar kelantan sekarang.


Beliau sangat bersabar dengan setiap ujian tertimpa, sabar dengan kerenah pemerintah yang tidak henti ‘mengesyaki’ aktiviti beliau sehingga ada yang mahu menghentikan, lalu membuatkan beliau terpaksa merahsiakan aktiviti seterusnya. Namun, atas hemah beliau menerangkan dan kesabaran yang tinggi membuatkan mereka semakin menghargai dan menghormati syaikhul tarbiyyah ini.



Bersabar lah di atas sabar


Itu kata-kata beliau yang benar-benar menghenyak jiwa hamba. Terkadang hati terngadah dalam usaha dakwah kerana sedikit ujian, sehingga menafikan sebentar kenikmatan lain yang telah ALLAH beri pada kita.



Jiwa da’ie jiwa yang tenang, jiwa hamba yang sentiasa bersabar atas ujian, bersabar dalam melangkah, lembut dalam tingkah namun tegas dalam berdakwah. Tegas bukan kasar, lembut bukan erti lemah.


Wallahua’lam

You May Also Like

3 komen

  1. Salam..
    syukran di atas komen yg diberi di dlm blog ana.
    Kalau tak keberatan boleh ana pinjam CD Sang Murabbi dari enti.
    Ana sangat berminat untuk menontonnya dan
    berkongsi dengan sahabat2.
    Sekian,ws..

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Berdakwah mmg mudah untuk mereka yang Allah mahu berubah, sekadar memerlukan satu sentuhan yang jatuh ke hati untuk menggerakkan jasad dan minda mereka ke arah cahaya Illahi.

    Tapi bagaimana mahu berdakwah pada mereka yang jelas telah jauh tersalah arah dan tidak menunjukkan minat untuk berubah? Inilah antara golongan yang amat perlu diselamatkan kerana corak kehidupan yang mereka pilih mampu merebak ibarat virus yang sukar dibendung. Apatah lagi dengan segala alat media massa yg kelihatannya lebih banyak 'menyokong' dari 'membendung'.

    Berdakwah dikalangan manusia sebegini tak mudah... terlalu payah rasanya... tapi bukannya mustahil.

    Teringat satu usaha 'pembedahan' yang mahu dilakukan oleh salah seorang teman blogger, SangPelangi terhadap buku Dr Takeshi Yoro, Baka No Kabe. Buku itu menegaskan bahawa manusia tidak akan mendengar dari orang lain tentang apa yang mereka TIDAK MAHU dengar. Susah jugak, kan?

    Nak berdakwah dgn org yang tak mahu dengar mmg rasa macam menyimbah air ke daun keladi. Tapi itulah cabarannya. Dan kalau berjaya mendekati dan membantu menyedarkan orang yg menutup hatinya dari sebarang sebegitu, seolah satu bonus yang amat besar!

    Melentur hati yang telah lama menjadi batu, memerlukan kelembutan seperti air, yang sentiasa membasahi dan tak jemu mengalir, mengharapkan hanya waktu yang mampu membuktikan bahawa satu lekuk mampu dibentuk dengan berbekalkan kesabaran dan doa yang ikhlas.

    Sesungguhnya hanya Allah yang mampu mengubah hati dan pemikiran seseorang. Tapi itu tidak bermakna kita tak perlu berusaha, kan? Mungkin kita perlukan lebih ketegasan dan banyak kelembutan dalam masa yang sama... dan paling penting, perlu istiqamah dalam usaha yang dilakukan.

    ReplyDelete
  3. salam.. selamat berpuasa.. moga kita diberkati selalu dgn ibadah yang kita lakukan

    ReplyDelete

Komen. Terima kasih.