InnaALLAHa maana

by - 1:30 PM



Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat.



Minggu lepas, saya dan beberapa sahabat pergi ke muzium kesenian islam untuk mengumpul maklumat tentang kajian kami untuk satu projek bertemakan ketamadunan islam. Kebetulan di sana kini terdapatnya pameran ‘Faith and power: women in islam’. Berjalan di set pameran, membaca ketabahan srikandi islam terdahulu, dari kisah ratu balqis, isteri-isteri Rasulullah saw, sehinggalah srikandi islam di segenap dinasti islam seluruh dunia. Dalam membaca setiap kisah-kisah yang dipamerkan, terfikir sendiri, adakah diri ini setabah dan sekuat mereka, dan terasa amat jauh diri ini dari peribadi serikandi islam.

Keperibadian mereka merupakan ‘dakwah bil hal’ yang sebenarnya merupakan model asli kepada muslimah hari ini dalam membentuk diri menjadi mujahidah islam. Saya? Hmmm... jauh lagi rasanya.


Khusnul Dzon?


Semalam, saya terbaca kisah yang menggegarkan jantung hati saya di akhbar tempatan. Melihat tajuknya sahaja saya mendidih, bukan apa, selalu benar akhbar membuat provokasi keatas golongan-golongan sebegini. Kes pelajar membuang bayi saat ini semakin meningkat saban hari, namun, dengan ‘stress’kan ‘sekolah agama’ betul-betul mencuit api kemarahan saya. Saya cuba berfikiran positif kerana saya tahu, pihak akhbar mungkin tidak salah, yang salah adalah golongan yang tidak tahu menjaga nama baik intitusi itu sendiri. Malas mahu menyalahkan sesiapa terlebih dahulu, saya baca artikel itu sepenuhnya.

Sedih bukan kepalang apabila membaca pengakuan pelajar perempuan sekolah itu atas tuduhan membuang bayi di belakang asrama, menaikkan gemuruh saya kembali. Beristighfar dan mengucap panjang saya menatap gambar gadis yang dimaksudkan. Sungguh aib yang dia bawa bukan sahaja ke atas diri dan keluarganya, malah tidak salah kalau saya katakan membawa fitnah ke atas golongan agama dan agama islam itu sendiri.

Khusnul dzon, saya cuba membina perasaan itu dan meneruskan pembacaan sehingga ayat asbab kelahiran bayi, saya terhenti dan menangis. Gadis itu telah di rogol !! Innalillahiwainnailaihirojiun. Sungguh, saat itu sayu hati saya. Dia adalah mangsa rogol, mangsa kerakusan lelaki berhati ‘binatang’ (aduh, tak sanggup rasanya hendak menyebut!). Hati yang membara marah, bertukar sayu,sedih dan simpati. Sahabiah ku, mungkin engkau tidak bersalah. Ya, mungkin lelaki-lelaki ini tidak bersalah, kerana jiwanya mungkin memberontak dek kerana trend pakaian wanita itu sendiri zaman sekarang, seksi dan jauh dari rasa malu. Malah terlalu bangga mempamerkan tanpa memikirkan kesan begini. Walau bukan mereka yang menerima padahnya, nah,lihatlah, muslimah ini salah seorang mangsanya.

Atas dorongan ingin tahu berikutan berita 13hb (di sini) itu merupakan berita susulan dari berita sebelumnya bertarikh 8hb (di sini), saya membuka website akhbar tersebut dan mencari di arkibnya. Otak saya semakin berpusing, cuba menganalisa dan cuba memahami hati gadis tersebut. Dia bukan sahaja membuang bayi tersebut, malah membunuhnya terlebih dahulu lalu membungkus dan membuang nya di tempat timbunan sampah. Sedih bukan alang kepalang, tapi dalam keliru saya fikirkan positif kembali. Namun, sesekali saya di gamit ragu-ragu untuk terus bersangka baik. Sehinggalah saya membaca entry ustaz zaharuddin mengenai sangka burut (klik di sini). Tepat pada waktunya.


Mengata, membantu atau diam?

Saya cuba bertanya pendapat dan mengadakan perbincangan dengan beberapa sahabat atas 2 perkara di dalam kejadian gadis berkenaan. Sesungguhnya ia semestinya suatu kes yang amat melelahkan bagi yang mahu berfikir dengan tujuan ingin membantu sambil mengambil iktibar; suatu yang jijik bagi yang memandang hina dan terus-terusan menyalahkan; dan bukanlah perkara besar bagi mereka yang lebih suka diam bagi sesuatu yang tiada kaitan dengan diri sendiri. Nah mana satu? Itu semua pilihan kita.

‘Saya rasa ingin sangat berjumpa dengan dia kalau ada peluang...’ luah saya.

‘Hmm...soalnya, nak ke dia berjumpa kita?’ pertikai sahabat saya kembali. Ada benar dalam kata-katanya.

Jangan kata hendak melaporkan kejadian di rogol itu kepada polis, menceritakan kepada ahli keluarga, sahabat handai atau guru pun tidak di lakukannya. Tentu dia sangat malu, teramat malu, lagi-lagi bagi dirinya yang mungkin sudah menjaga sehabis baik diri setelah terdidik dengan agama, namun, turut teruji dengan hal yang begitu mengaibkan. Sesungguhnya, orang sebegini memang sukar di fahami rasa malu mereka dan sebab mereka kadangkala kurang logik bagi kita yang tidak pernah mengalami.

Sukar amat sukar, saya tahu serba sedikit kerana saya pernah ‘handle’ 1 kes begini. Alhamdulillah, atas sedikit usaha berdasarkan keupayaan saya dan beberapa orang yang lain, ‘kawan’ kami itu telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki lebih kurang 4 bulan yang lepas.


Suatu cerita dan iktibar



Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah semasa darjah 6. Selepas tingkatan 1, kami terputus hubungan kerana saya memasuki asrama, dan dia berpindah tinggal bersama ibunya yang di khabarkan bekerja sebagai ‘jalang’ di suatu bandar. Ya, jalang. Ibu Y dikatakan bekerja sebagai itu dan tinggal serumah dengan seorang lelaki tua tanpa bernikah walau ketika itu dia belum lagi bercerai dengan ayah Y. Ayah Y? Hmm..sentiasa tiada di rumah mencari rezeki. Tinggallah Y terkontang kanting sehingga dia tinggal dengan opahnya. Ketika saya di tingkatan 3, bermakna kawan saya ini di tingkatan 2, sudah berhenti sekolah dan mengembara ke kebanyakan negeri di semenanjung tanah air dengan bekerja sebagai pelayan kelab. Sehinggalah bulan ramadhan tahun 2002, kebetulan saya bercuti matrikulasi. Dia muncul memberitahu sudah berhenti dari bekerja sebagai pelayan kelab. Saya ambil kesempatan bulan mulia itu untuk selalu bersama dia, yang menumpang di rumah opah nya. Tidur bersama, bersahur, berbuka dan bertaraweh, kadangkala bersama di rumah opah nya atau di rumah kami.

‘Apeje kamu buat kat situ?’ tanya seorang kawan saya yang lain.

‘Aku keje anta air je’

‘Arakke?’

‘Jus, coke, air gas, arak pun ade kadangkadang’ bergegar juga jantung saya.

‘Banyak kamu dapat?’

‘sehari dekat 100 jugak, basic sebulan 2000, tapi kalau ‘open bottle’ dapat lebih, satu botol 50’jelasnya lagi.

‘ape kebendanya openbottle?’

‘dapat pujuk orang beli arak...panggil open bottlejawabnya sambil tersengih.

‘Deme pegang-pegang kamu ke? tido?’ aduh, soalannye memang berat.

‘Ish takla sampei tido, ‘pegang’ sikit-sikit je. Deme mintak kalau tak bagi tak dapat nak open bottle, tapi nak lebih-lebih Y tak bagi..’ terang Y, kala ini dia sudah tertunduk, tak mampu memandang kami.

Alhamdulillah, selepas itu Y bekerja di pasaraya di bandar dan sudah bertunang dengan lelaki pilihannya, Z dan mengikut perancangan akan berkahwin hujung 2006. Namun, sememangnya perancangan ALLAH swt melebihi segala-galanya, Y dan Z putus atas sebab yang saya sendiri kurang pasti. Saya terus cuba memberi semangat pada Y, walau tidak berjumpa, alhamdulillah, hp memudahkan saya dan beberapa kawan lain untuk terus berhubung dengan Y. Namun, di sangka semuanya sudah terkawal, namun, kami sekali lagi diuji dengan berita Y sudah mengandung 4 bulan seawal tahun 2007.

‘Laki orang. Dia kata die sayang Y. Sebenarnya, tak pernah ada yang ambik berat dengan Y macam die buat, mak, ayah...’ jawab Y saat saya menyoal bapa kepada bayi tersebut. Jadi sahlah bukan zuriat bekas tunangnya, Z. Dan yang paling menyedihkan, Y tidak tahu hendak menghubungi ‘bapa’ kepada kandungannya.

‘Habis opah kamu, kite?!’ tukas saya tegas, saya cuba ‘memberi sedikit tekanan’. Sungguh, jika hendak digambarkan perasaan saya ketika itu, rasanya mungkin saya sendiri hangus dengan perasaan saya sendiri. Marah, sedih, geram, benci, sayang...semua ada. Y yang saya cuba sayang dari kejauhan, adik yang bukan dari darah daging seibu sebapa, saya sayang seperti adik sendiri (kerana tiada adik perempuan), dia...ALLAH..ALLAH...bantulah aku mengawal perasaan ini dan redha atas segalanya.

Beberapa bulan yang lepas, saya berjumpa dengan Y dan anaknya yang sudah berusia 3 bulan lebih di rumah opah Y. Saya nampak perubahan diri Y. Sudah mula bertudung, bajunya, alhamdulillah makin melonggar.

Hal pelajaran adalah antara hal yang biasa akan di tanya apabila berjumpa saya, jadi tahulah saya bahawa dia masih sayangkan ilmu, namun, mungkin belum sampai masa dan rezekinya.

‘Dilah...terima kasih ya...’ ucap Y saat saya meminta diri. Senyum.

‘Kak...’ sahut Y lagi. Hati saya berbunga. Ada kasih yang Y siram pada rasa marah dan kecewa saya sebelum ini yang membuahkan rasa yang semakin sayang.

‘Terus tolong aku ya, dengan A (anaknya) ...’ luahnya sambil tersengih.


InnaALLAHa maana, wakafa billahi wakiila


Boleh di katakan 20 tahun saya mengenali Y, sahabat pertama saya semenjak saya mengenal erti persahabatan. Namun, perjalanan ini saya anggap ujian ALLAH swt. Bukan sahaja ujian buat diri Y, tetapi tarbiyyah dari ALLAH swt untuk saya dan keluarga. Ada perkara dan pengajaran yang ingin saya sampaikan, namun, sungguh berat bara sehingga tak sanggup saya lepaskan takut-takut ada insan yang teraniaya. Perkara ini sangat sensitif, namun saya cuba sembunyikan dan simpan rahsia identiti perwatakan sebaik mungkin, dan cuba mengambil pucuk cerita sebab saya yakin, ini sesuatu yang amat penting untuk kita semua renungi. Buatlah kesimpulan sendiri di dalam suatu realiti.

Sebenarnya, ingatan saya benar-benar di pengaruhi berita gadis tadi yang di rogol dan membuang bayi. Teringat tulisan akh zamry di blognya tentang Hidayah, milik ALLAH swt. Sungguh, ia urusan ALLAH swt sepenuhnya. Semoga ada hidayah di sebalik kejadian yang menimpa mereka ini.

Sedari dulu, saya bukanlah sentiasa di kelilingi dengan jemaah, golongan yang terdidik agama dan akhlaknya, dan memang bersemangat dengan perjuangan dan da’wah. Tetapi, mengelilingi dan menyertai mereka yang masih ‘keliru’ dengan kehidupan dunia dan ralat dengan tuntutan akhirat. Namun, setiap ketentuanNYA, itulah tarbiyyah untuk kita semua. Saya yakin, setiap manusia di campakkan di dalam keadaan dan suasana tertentu mengikut kemampuan setiapnya, merupakan salah satu tanda kebesaranNYA dalam memberi suatu kepelbagaian peluang dakwah dalam perkembangan islam, dan supaya islam itu sampai di setiap ceruk manusia. Jadi itulah peluang yang perlu kita korek sendiri atas dasar yakinNYA atas hikmah di sebalik kejadian dari perspektif positif pemikiran manusia.

Saya, dan mungkin anda, mungkin bukanlah seorang pendakwah secara zahirnya, namun realiti kehidupan manusia, pasti terpikul beban itu walau sedikit yang kita laksanakan, namun tetap punya ganjaran dariNYA. Walau dakwah kita tidak terzahir dengan kata-kata (dakwah bil lisan) , namun cukuplah jika kita berdakwah melalui perbuatan (dakwah bil hal).

Ini hal pemuda kita, ini hal kemasyarakatan kita dan ini hal ‘keluarga’ islam kita. Jangan lah mengeji, cukuplah hanya bersimpati dan sedikit doa supaya ada pengakhiran yang baik. Jika berupaya, bangunlah membantu sekadar termampu.

Teringat perbualan dengan sepupu saya:

‘Ilmu ni saya cari buat bekalan untuk saya kukuhkan hati dan pengetahuan bila balik malaysia. Harapnya, walau tak mampu nak berdakwah besar-besaran, atleast kita cuba bantu orang-orang terdekat dahulu, keluarga, sahabat...’


p/s [nahwanNUR] :: Apapun, moga ALLAH swt memberi sedikit kekuatan jasad, jiwa dan iman saya dalam saya menolong diri saya sendiri, orang sekeliling saya, walau bukan dalam ruang lingkup yang besar, at least untuk orang sekeliling saya. Begitu juga untuk semua. Walau manapun kita di campakkan, walau manapun kita diletakkan, moga iman kita semua kuat terjaga dan sentiasa dalam tarbiyyahNYA, jika terluka dan tergugah, ingatlah adaNYA ALLAH sebagai pelindung, tempat mengadu kita, innaALLAHa maana. Dalam usaha kita berdakwah, jangan sesekali memandang rendah pada sesiapa, malah sentiasalah berfikiran positif (sambil mencari jalan penyelesaian) dan yakin kepada pengakhiran yang baik, dan sentiasa berdoa dan bertawakkal buat hidayah untuk semua.

Amin...ALLAHumma amiin

You May Also Like

5 komen

  1. Salam.
    Sebenarnya telah lama saya berfikir, apa sebenarnya yang membuatkan umat akhir zaman terlalu mudah tunduk pada nafsu dan keinginan yang menggila. Di mana silapnya?

    Walaupun ada yang membesar dalam keluarga yang kuat agama, yang rasanya telah diberi pendidikan yang cukup, yang tahu dan mahir tentang hukum halal haram, tapi masih tersungkur oleh satu faktor keinginan yang bernama 'impian'.

    Impian keduniaan, spt impian untuk hidup bersama orang tercinta sehingga sanggup menyerahkan segalanya dan impian untuk hidup senang dan mewah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang salah dan tak berhemah.

    Kalaulah kita boleh buang rasa kecintaan dunia dari hati kita, rasanya 'kesesatan' itu mampu dibendung dengan agak berkesan. Tapi bagaimana nak membuangnya kerana masyarakat sekarang terlalu bersifat materialistik? Bagaimana nak membentuk remaja muslim agar tidak mengutamakan dunia?

    Bagi saya, paling penting ialah selalu berdoa kepada Allah agar diberi rasa kecukupan terhadap apa yang telah direzekikan, dan dengan itu akan dapat dibuang rasa kecintaan terhadap dunia secara perlahan-lahan. Bila kecintaan dunia telah berkurang, maka nafsu keinginan yang membawa keburukan akan dapat dilemahkan.

    Kalaulah semua orang sedar bahawa dunia bukan segalanya, alangkah baiknya....

    ReplyDelete
  2. Aiwah, tolong promosi blog ana pula ek...
    jika kita tidak membantu, siapa lagi?
    Hulurkan bantuan atas nama persaudaraan walau hanya sekecil kuman

    ReplyDelete
  3. promosi sebab banyak manfaatnya

    ya siapa lagi nak membantu mereka jika bukan kita orang sekeliling mereka.

    Bak kata Dr Aidh Abdullah Al-Qarni;

    "Wahai Daie,janganlah pernah sama sekali berputus asa menarik dan menyeru orang yang berdosa ke jalan Allah. Bergaullah dengan anak-anak muda,ahli-ahli maksiat,pendusta agama dan sebagainya,agar merasa diperhatikan dan tidak dibenci.Kerana suatu saat mereka akan jadi pengikut Muhammad saw.Sabar dan perlahanlah,jangan terburu-buru"

    ReplyDelete
  4. sedih..sedihh..amat sedih..terasa berkecamuk hati baca kisah begini..apalah nasib umat akhir zaman..:(..:((

    ReplyDelete
  5. ya amat sedih bila mengenang setiap keruntuhan moral remaja zaman ni. Dan terasa takut bila memikirkan umat akhir zaman. Zaman yang mana yang betul di pandang hina, yang salah di sanjung-sanjung.

    Moga kita semua di bawah bimbingan ALLAH swt dan sama-sama kita bangun membantu dari segi ilmu dan bimbingan diri kepada mereka ini. Moga keadaan menjadi lebih baik sekurang-kurang sebelum kita melelapkan mata untuk selamanya.

    ReplyDelete

Komen. Terima kasih.