.: My Littre Tears :.

by - 9:22 AM


Pelangi petang itu entah kenapa aku tangisi. Mungkin tak tertahan. Zalim rasanya pada sang pelangi yang sabar memujuk lembut dengan pelbagai warna keceriaan, namun terus-terusan jua air mata mengalir, menangis hiba bukan gembira.


Hati terluka dengan si pendusta yang nista. Jarang-jarang aku mahu memanjangkan marah, namun kali ini tak mampu aku menentang amarah, Astaghfirullahal'azim.


“Dan musibah apapun yang menimpa kalian, maka itu terjadi karena ulah perbuatan tangan-tangan kalian, dan Allah memaafkan banyak kesalahan orang.”
(QS. Asy Syura [42]: 30).


Dia sahabatku. Aku di sini gembira memperlihatkan tawa, dia di sana terseksa disebalik senyumannya.


Beberapa hari lalu aku mendapat perkhabaran dari temanku, sahabat ku juga merupakan adiknya semakin ‘kurang sihat’. Gembira ku yang pada awalnya setelah mendapat perkhabaran dari teman baikku bertukar duka dan risau. Geram dan MARAH!


Pendusta hina!


Sudah hampir 3 tahun adik perempuan teman baikku (yang juga sahabatku) dan keluarganya juga kenalan keluarga ku terseksa, itu bermakna sudah 3 tahun juga aku mengenalinya. Sakit nya sekejap datang sekejap pergi. Kali terakhir aku dengar kesihatan nya baik setahun yang lepas. Selebihnya dia sentiasa ‘terganggu’ sehingga mengakibatkan dia terpaksa menangguh setahun pengambilan spm 3 tahun lalu. Sakitnya bukan kepalang akibat tersihir si pendusta cinta.


Lelaki itu kononnya ‘terpaksa’ menyihir dek kerana hati yang terluka akibat cinta ‘kudus’nya di tolak.


Berputar ligat kotak memori ketika teman baik aku yang meminta pertolongan dan pendapat atas penyakit adiknya yang tersihir. Saat itu marah aku belum memuncak kerana berfikir mungkin lelaki itu kurang faham kenapa pelawaan untuk bercouple di tolak atau mungkin adiknya salah cara dalam menolak. Namun, setelah aku dipertemukan dengan dia 3 tahun lalu, dia yang bagiku cukup sabar dan lemah lembut, aku yakin, lelaki itu yang bersalah.


Dengan perwatakan sahabat ku ini yang lembut dan teramat pemalu lagi-lagi dengan lelaki, mungkin itu yang memukau pandangan jejaka. Pandangannya saat dia aku dan kakaknya (teman baikku) beriringan ke surau sentiasa tertunduk ke tanah, sedang aku yang melilau ke sekeliling dan sesekali menjeling ke arah dia dalam proses mengkaji dirinya. Namun saat itu keadaannya sedikit ‘baik’. Saat itu aku mengambil kesempatan berbual tentang kefahaman dan hukum hakam islam dengannya, ternyata dia bijak dan boleh aku katakan jauh lebih baik dari ku. Kagum. Ketenangan dan kesabaran yang terlihat berjaya menutup seksa jiwa dan sakit batinnya, jika orang melihatnya pasti tidak percaya yang dia sedang ‘sakit’ akibat panahan sihir.


Selesai SPM, keputusan cemerlangnya berjaya membawa dia ke matrikulasi taman ilmu dan budi, UIA dalam aliran sains fizikal. Namun, kesihatannya kembali terganggu dan memaksa dia sekali lagi menangguh pengajian, mengambil cuti 1 semester dek kerana gangguan itu yang bukan sahaja mengganggu fizikalnya, malah kecerdasan fikirannya. Bayangkan, ada saat dan ketika, fikirannya akan menjadi setaraf kanak-kanak yang hanya tahu dan faham aktiviti makan dan tidur. Kali ini fizikalnya menjadi bertambah teruk, pucat dan seakan berpenyakit leukemia. Namun wajahnya tak lekang dengan senyuman saat bertemu. Cumanya kali ini dia lambat memberi respon atas setiap sapaan, seolah-olah berfikir dahulu, dan atas sebab itu dia menjadi agak pendiam.


‘Nahwan macamana nak yakinkan mak ayah kami ya? Dia minta nak sambung darul quran, tapi mak ayah kami tak bagi… tolong bincang dengan mak ayah kami boleh?’ beritahu teman baik saya saat menceritakan perihal adiknya yang terpaksa berhenti belajar di matrikulasi uia.


Itu masalah yang mendepani mereka sejak dahulu. Sebenarnya, adik teman baik ku ini terlalu minat aliran agama, namun ibu bapanya terlalu memandang rendah kepada aliran agama yang mereka pernah katakan sebagai aliran yang tiada masa depan dan terkebelakang.


Alhamdulillah, akhirnya setelah kami berusaha, ibu bapanya bersetuju, dan setelah melalui ujian hafazan bagi kelayakan ke Darul Quran, dia berjaya mendapat tempat. Dua semester di sana, kesihatannya beransur pulih, gangguan semakin berkurang berkat dirinya rapat dengan kalam ALLAH swt.


Namun semenjak pertengahan tahun lalu, kakaknya yang merupakan teman baikku menyatakan dia sekali lagi terpaksa berehat beberapa semester kerana sihir itu datang lagi dan makin ‘kuat’. Pelbagai rawatan di usahakan. Namun sejak sebulan lalu aku selalu mendapat berita dia semakin teruk.


Satu yang mengkagumkan, kesakitannya jarang kelihatan melainkan rupa fizikalnya yang semakin nampak ‘terseksa’. Senyum sentiasa terukir, ketenangan sentiasa terzahir.


‘Alhamdulillah. Sakit ni ujian ALLAH swt. Bukan kita tak usaha kan, kita sedang usaha, selebihnya kita serah pada NYA. Hmm, lagipun, saya bahagia kak, sakit saya ni membawa perubahan hidup beragama pada makayah dan keluarga. Macam ni biaq sakit pun tak pa, hikmahnya mungkin bukan pada kesihatan saya, tapi pada iman dan ketaatan keluarga saya.’ Senyum. Senyap sunyi. Aku… kosong.


Itu katanya saat akalnya masih segar, kini perkhabaran dari kawan ku tidak lagi mampu membendung rasa sedih dan marah pada sang lelaki kejam itu. Dia, adik teman baikku, adik perempuan ku juga, sudah tidak tahu melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur. Akalnya seakan kosong, bila di tanya hanya mampu melihat dan diam. Bila di soal mahu makan dia angguk, bila ditanya perkara lain dia diam dan kaku, bila di tanya mahu sembahyang, matanya merah namun tiada lagu sendu.


Oh lelaki, maaf kerana aku biarkan amarah ini menguasai diri seketika, kerna bagi aku kamu pendusta cinta. Cinta itu fitrahnya suci, namun kelemahan mu mencalar hakikat kesucian itu. Tidakkah kamu punya akal untuk menilai baik buruk suatu tindakan? Tidakkah kamu punya hati untuk merasa belas? Oh, andai kamu dengar bertapa dia bersyukur atas kesakitannya itu mampu merubah iman keluarganya, tentu kamu tahu bertapa tulusnya dia akan memaafkan kamu jika kamu berubah.


Wahai lelaki yang fitrah kejadiannya sebagai imam pembimbing kaum hawa, sedarlah dalam diri mu tetap punya kebaikan dan terbuka luas untuk kamu berubah, jangan biarkan ia terhijab dengan perasaan mu yang yakin ku katakan ia hanya nafsu rakus semata. Zahirkan lah hidayah di dalam diri mu itu.


Wahai lelaki yang membuatkan aku berbahasa ‘aku’, biar kami tidak mampu melawan perlakuan mu di dunia walau setelah banyak usaha, namun, ingatlah balasan ALLAH di sana itu nanti adalah pasti!


“Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan sebagai seorang muslim.”
(QS. Ali ‘Imran [3] : 102).


My littre tears… O’Allah, You are the one who knows upon something behind, You are the one who permitted something to happen (kun fayakun!), may You granted us faith forever no matter what will happen and what we will faces on. To You we seeking for helps and to You we depends on.


Hasbunallahu wanikmal wakiil, nikmal maula, wanikmannasiir

You May Also Like

3 komen

  1. Salam...
    Sedih dan marah juga kak su rasa bila membacanya.

    Bila manusia kurang iman, hilang pegangan dan kepercayaan pada qada' dan qadar Tuhan, seringkali akan melakukan sesuatu yang keji seperti itu.

    Nafsu sering disalah tafsir sebagai cinta. Cemburu dan marah juga sering di anggap tanda cinta. Bila tanggapan salah tentang cinta mengaburi fikiran, pasti ada yang mampu bertindak di luar kewarasan.

    Semoga teman itu kuat dan terus bersabar.

    ReplyDelete
  2. salam kak su

    asif, tak berniat nak menimbulkan kemarahan sesiapa, tapi memang saya marah.

    betul apa kak su cakap, itu hasil bila kita mencintai nikmat lebih dari pemberi nikmat, menjadi hamba kepada dunia, sedang akhirat itu tiada lagi dalam carta penting buat diri.

    InsyaALLAH teman saya itu kuat dan sentiasa sabar, namun fizikal dan akalnya semakin lemah. Jika di lihat, jiwa kita yang terseksa. Doakan semoga ada pengakhiran yang baik, buat dia, dan juga lelaki itu.

    Kalaulah ada ikhwah yang boleh pergi membiming dan mengubah lelaki itu menjadi faham dengan agama...

    ReplyDelete
  3. Ini adalah ujian ALLAH kepada Hamba-NYA yang terpilih...
    Moga ALLAH merahmatinya dan menyembuhkannya

    ReplyDelete

Komen. Terima kasih.