.: Opah :.

by - 3:20 PM

'Lah...hantar ni dekat opah...' pinta ayah sewaktu saya menjengah ke dapur selesai solat asar. Saya melihat jam di dinding. Jam 630 pm, malu. Hari itu, saya terlewat sembahyang asar kerana terlelap. Alasan saya sendiri kerana kepenatan memandu pulang ke kampung bersama kakak ipar, sesampai di rumah sewaktu zohor, solat dan terus mengemas rumah. Jam berdenting menunjukkan pukul 4 tepat saya melelapkan mata. Bukan tak di pesan mak supaya solat dahulu, namun entah kenapa berat sangat mata saya terasa.

'Ish, menung lagi...lekas pegi hantar. Ayah nak guna motor lepas ni nak berbuka di surau...' kejut ayah. Saya mengangguk dan cepat pergi mempersiap diri.

'Cuba pujuk opah buka sini ya...kotla dia nak kamu balik ni.' beritahu ayah. Saya mengangguk lagi. Dalam hati sudah mengira-ngira jawapan opah. Pasti!.

Hampir 5 minit saya berlegar di luar rumah opah memberi salam, mengetuk pintu dan tingkap yang tertutup rapat dan berkunci, namun masih kedengaran bunyi dari corong televisyen menandakan seolah opah ada di dalam. Saya berpusing dan memberi salam beberapa kali. Risau sebenarnya.

Lalu saya ke rumah makteh di sebelah rumah opah. Kerisauan saya memuncak. Melalui dapur saya menjenguk, mujur ada sepupu dan isterinya di dapur, mempersiapkan juadah, melakukan final touch agaknya.

'Assalamualaikum...masakke kak yati?' tegur saya. Mereka tidak terkejut kerana agaknya sudah menyedari kehadiran saya di rumah opah 'terjerit-jerit' memberi salam.

'Haah...ni last...cari opah?' jawab kak yati dan sepupu serentak bertanya tujuan saya di situ.

'Hmm...opah tak jawab...dia ade ke?'

'Eh ade je tadi. jap kite tengok....opah..ooo, opah...' jawab sepupu saya dan terus menuju ke pintu yang menghubungkan rumah makteh dan opah. 2 - 3 minit selepas itu baru opah terkocoh-kocoh membuka pintu sambil kedengaran 'cakap-cakap' nya.

'uish...maaf le lah, orang tua ni dah pekak...langsung tak dengo...' ucap opah saat membuka pintu. Saya memberi salam dan bersalaman dengan opah. Tersenyum. Namun, hati saya...sayu

'Sihat opah?' soal saya sambil duduk di pintu. Opah senyum. 'Macam ni lah' katanya.

'Ni mak bagi makanan sikit...buah.' beritahu saya sambil menghulur beg plastik. Opah senyum lagi. 'Jom buka rumah saya opah...' ajak saya. Opah senyum.

'Lenkali je lah ye. Esok-esok. Bile kamu sampei ni? Kamu tu bile nak buka sini?' tanya opah. Saya tersenyum.

'Esok ye opah. InsyaALLAH. Saya sampai zohor tadi. Lepas tu tido, tu yang lewat ke sini. Eh, dah nak pukul 7. Saya balik dulu ye opah, ayah nak guna motor...' tergesa-gesa saya di buatnya. Melihat jam dah ke arah 7. Saya salam opah dan meminta diri. Jarak rumah saya ke rumah opah sebenarnya tak sampai 2 minit bermotor dan 5minit berjalan kaki, malas nak berjalan je sebenarnya. Tak sempat nak bersembang lama dengan opah.


Opah kian uzur, badannya yang dulu tegap, sehingga membolehkan kepala mencecah ketinggian pintu, kini dia semakin bongkok, ketinggian dia kini sama ketinggian saya. Pendengaran opah. Oh, lihat sahaja tadi, rasanya sudah kuat nada suara, dan tidak cukup dengan itu saya mengetuk pintu dan tingkap, namun dia tidak dengar. Rumahnya tidaklah besar untuk menyebabkannya tidak mendengar. Hanya sebuah bilik kecil 5X10 meter, bersama bilik air dan dapur 5x3 meter, kecil. Namun, itulah menandakan dia semakin di mamah usia.

Sebenarnya sudah jenuh ayah dan anak-anak opah yang lain mengajak untuk tinggal terus bersama, namun, opah selesa di rumah itu. Banyak kenangan katanya. Kami tidak boleh memaksa, cuma yang termampu untuk sama-sama melawatnya setiap hari. Dan saya, hanya berkesempatan melawatnya apabila pulang ke kampung.

'Tak mau tido sini lah? ye lah, rumah opah panas, kipas takde, kecik pulak tu..' rajuk opah saat saya menolak ajakannya. Bukan apa, terkadang saya berpeluang untuk balik hujung minggu, lalu hanya ada waktu itu untuk bersama mak dan ayah. Apapun, rajuk opah tak lama, kerana opah amat memahami. Saat saya mahu pulang dia yang terkocoh-kocoh, perlahan berjalan ke rumah kami yang terletak 5 minit (berjalan) dari rumahnya. Pernah sekali, sewaktu cuti itu saya baru pulang dari bandar, melihat seorang tua di tepi jalan bersemak, duduk mencangkung seperti menghilang lelah. Sayu hati, saya berhenti hendak membantu. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati si tua yang kelelahan itu adalah opah. Oh ALLAH, ampuni aku cucu yang amat lemah ini. Namun opah tetap tersenyum di dalam kereta itu.

'Opah nak kerumah kamu le ni...penat berenti rehat jap...' beritahu opah. Saya tersenyum, sebenarnya hati saya terobek. Kadangkala nakal hati ini memikirkan sepupu yang bersebelahan rumah opah yang tidak mahu menghantar. Oh, maafkan ku hati. Husnu dzon, mungkin sepupu kami sendiri tidak tahu opah keluar.

Hari Rabu, seperti kebiasaan saya balik, opah akan meminta tolong saya membawanya ke pasar malam. Mahu membeli lauk. Jenuh saya meminta untuk hanya memesan, namun opah menolak dan mahu pergi sendiri, senang katanya. Saya mengikut kehendaknya. Mahu terus memaksa takut boleh jadi kasar. Dan rabu itu juga seperti di janji, saya akan berbuka dengan opah.

'Tengahari tadi opah dah masak lauk untuk kamu, buat kuih...' beritahu opah, senyumnya melebar. Saya mengangguk. Mak dan ayah senyum. Selesai solat asar, saya membawa opah ke pasar malam. Tidak banyak gerai, dalam 6-7 sahaja itupun menjual lauk pauk.

Opah membeli ayam, ikan dan sayur, dari satu gerai ke satu gerai hanya beberapa langkah, bayangkan, di setiap gerai opah akan berhenti, duduk mencangkung untuk menghilang lelah. Saya terus menahan rasa. Tersenyum kepada orang yang lalu lalang melihat. Ada wajah kasihan.
Saya mencangkung di hadapan gerai ayam bersebelahan opah. 'Opah larat lagi?' soal saya.

Opah tersenyum. 'Berpino mate...paneh sangat matahari. rehat jap.' jawab opah. Saya tersenyum dan mengangguk. Memilih ayam 2 kerat buat opah, siap peniaga tu menyiang dan membungkus, bayar. Opah bangun sambil berjalan ke gerai sayur. Saya membontoti. Melihat tubuh kurus opah dari belakang, terasa diri ini tak banyak membantu opah. Dulu, sewaktu opah kuat, opah rajin mendukung saya. Biar bejalan hampir 30 minit lamanya, saya atau adik bersilih ganti opah mendukung. Hangat pelukan opah saya masih terasa. Saat ini, kenapa saya tidak mahu mendukungnya. Oh, opah yang tidak mahu. Namun, entahla. Saya buntu untuk membantu dan memberi yang terbaik untuk opah.

Sampai di depan gerai sayur yang hanya 10 langkah di hadapan mungkin, opah duduk kembali. Peniaga gerai sayur tersenyum, dia lama meniaga di situ jadi rasanya dia sudah biasa dengan 'kebiasaan' opah.

'Penat makcik?' sapanya mesra. Saya tersenyum menunduk sedikit padanya. Dia membalas.

'Penat. Hish, paneh arini ye' kata opah membalas. Dia tersenyum lagi.

'Ni ke cucu makcik?' soalnya lagi. Saya mengangguk. Opah tersenyum.

'Ni le yang selalu bawak makcik dulu tu. Dulu kecik lagi, sekarang, ho, beso dah. Dok belajo kat asrama, tu kadang-kadang balik...Ade die adela makcik datang.' terang opah panjang lebar. Saya tersenyum.

'Kawin udoh belom?' soalnya makcik sayur ni lagi sambil mencerlung matanya kepada saya. Saya tersenyum. Ke situ pulak topik jadinya.

'Belum, itu sebab le boleh bawak lagi orang tue ni. Kalau dak, ngan suami ngan anak je la.' seloroh opah. Saya tersenyum lagi, namun tersentuh hati. Adakah saya bakal begitu, menolak ajakan opah setelah berkahwin. Kosong. Adakah saya akan meminggir kepentingan opah, emak atau ayah saat mereka keuzuran begini setelah berkahwin? Kalau pun saya sanggup menjaga emak, ayah atau opah saat mereka benar-benar memerlukan saya, adakah 'keluarga baru' saya menerima mereka seadanya?


Oh ALLAH, sungguh segalanya dalam rahsiaMU, namun kuharap kebaikan atas kemampuan ku dan perkenan MU atas setiap sesuatu.


Saat berbuka, opah tidak menjamah nasi. Opah tidak biasa berat-berat. Selalunya selepas solat maghrib baru opah menjamah nasi atau makanan berat yang lain. Takut tak larat menunaikan solat maghrib katanya. Teringat saya dahulu, kali terakhir opah mengikut saya bersembahyang tarawih adalah saat saya tingkatan 2, sekarang umurnya sudah mencecah 90 tahun lebih. Sudah tidak larat. Berjalan ke dapur beberapa meter itu pun sudah kelelahan.

Teringat sewaktu bersekolah rendah, setiap kali cuti sekolah ayah akan menghantar kami adik beradik ke kampung di teluk intan dan sungai manik, perak. Tinggal bersama opah dan nenek silih berganti. Merasa hidup kampung asal usul yang tidak patut di lupakan, di situlah kami dididik budi bahasa dan erti kesusahan mencari rezeki.

Namun dalam kesusahan, nenek dan opahlah yang mengajar kami untuk sentiasa berkongsi dan memberi. Teringat saya ketika masih tidak tinggal di asrama, bersekolah di rumah, tinggal di rumah membuat saya rapat dengan opah. Setiap petang bulan ramadhan, setiap hari saya akan menemani opah ke 2 rumah orang miskin dan kurang upaya di kampung saya, ipoh. Golongan 'malabari', suatu kaum kecil di Malaysia (kebanyakan kita tidak tahu), 2 keluarga yang miskin, dan terdapat ahli keluarganya kurang upaya, opah selalu memberi makanan, lauk pauk, beras susu dan sebagainya. Selalu berjalan (hampir 5 minit dari rumah opah) untuk menziarahi mereka. Saat mereka sakit, opah tolong beli panadol, ataupun, meminta ayah membantu membawa mereka ke klinik.

Opah dan nenek bukan golongan senang, hidupnya kais pagi makan pagi dan begitulah seterusnya. Sementelah nenek meninggal pada 1992, kami menjadi rapat dengan opah. Dengan nenek, kami mengenali kehidupan bendang, sawah padi. Dengan opah, kami mengenal lidi dan kelapa sawit, meniaga. Dari rumah ke rumah kami menjual penyapu lidi opah, mendapat upah bukan main seronok. Berlari di tali air, ber mandi di ban, berpondok di atas pokok. Itu semua memori di kampung bersama opah dan arwah nenek. Saat mereka sihat dan kuat.

Hari itu, saat saya berbuka bersama opah, entah mengapa hati ini begitu sayu. Entah ramadhan yang depan, saya masih punya peluang bersama opah, membawa opah ke pasar malam, merasa kuih muih opah, melihat senyuman opah, mendengar leteran opah. Entah saya pergi atau dia pergi, atau sama-sama pergi tanpa berpeluang menghidupkan ramadhan seterusnya. Wallahua'lam


Opah. Kami sayang opah. Oh ALLAH, moga opah sentiasa dalam lindungan, kasih dan inayahMU.


p/s [nahwanNUR]: Entah kenapa saya terasa begitu ingin menulis tentang opah. Maafkan saya jika tidak punya manfaat. Apapun, hargailah warga tua di sekeliling anda saat mereka masih ada. Jangan berkasar dan jangan berhenti menghormati mereka walau saat itu mereka 'menyusahkan' anda. Itu bukan atas kehendak mereka.


Ingatlah, kerana kita juga bakal melalui usia mereka.



Buat opah; andai ini ramadhan terakhir buat kita (walau sesiapa pun pergi dulu, walau bukan ini yang diharapkan), harap opah dapat maafkan ketidakmampuan saya menyumbang apa-apa untuk opah. Maafkan kami semua kerana tidak mampu menjaga opah seperti mana opah menjaga kami semua. Buat semua opah, atuk, nenek, wan, tokwan semua, kalian adalah permata paling berharga di dunia, tanpa kalian, tiada kami, tanpa semangat kalian mengharungi cubaan dunia, tiada kehidupan buat kami kini. Moga kalian sentiasa di bawah naungan kasih ILAHI, dunia wal akhirah.


Kita juga begini suatu hari nanti, pasti!

You May Also Like

10 komen

  1. terharu baca 'kisah' seorg opah ni... sudah lama 'opah' tiada lagi di sisi... dan tidak penah mempunyai kenangan semanis ini...

    ReplyDelete
  2. salam..

    Terasa sayu membaca luahan cerita. Rupanya Opah itu atok ingatkan nenek. Kalau ana panggil nenek sbgai Tok kalo laki Tok Wan@Che'..

    Tok Wan ana menghidap penyakit lumpuh..sehingga sekrag..

    ReplyDelete
  3. kin hashim

    syukran kak atas komentar. Sama2 kita doakan buat mereka yang telah tiada ya


    ibnurashidi

    salam ya akh. Opah ni bukan atok. Opah adalah mak sebelah ayah ana, nenek pulak mak sebelah mak ana. Ini kes becinta 1 kampung, tu rumah nenek ngan opah dekat dan mereka rapat.

    Innalillah...jaga la tokwan ustaz baik2 ya. Moga ada kebaikan atas semuanya

    ReplyDelete
  4. salam.. selamat hari raya aidilfitri maaf zahir batin... semoga allah memberi kesihatan yang baik dkt opah... senyum selalu..;)

    ReplyDelete
  5. Selamat hari raya adilfitri kak

    risau takut tak berkesempatan, 2 bulan akan datang saya terlalu sibuk dengan kehidupan baru.

    minta doakan allah beri saya kemudahan dan berlapang dada

    -Senjahati

    ReplyDelete
  6. salam alaik,akak.

    herm...terasa serba salah pula neem. neem rasa cam ada buat salah dengan tuk neem, baru2 ini saja. ntah mengapa hati ini terlalu berat utk menerima nasihatnya. mungkin neem dah anggap diri neem sudah besar, x perlu lagi mendengar nasihat2 darinya. kerasnya hati ini. doakn smg dilembut2kan..

    maklum la belajar kat m'sia dari sekolah menengah. balik bangkok setahun sekali. apatah lagi nak balik umah tuk yg duk kat Nakorn si thammarash. jauh dari bangkok..keadaan ini buat neem terasa jauh dari dia..jauh sgt. jarang2 jumpa dan bersama..

    doakn smg hati neem dilembut2kan!

    selamat hari raya. maaf zahir n batin.

    ReplyDelete
  7. aterima kasih kerana jengok blog saya- saya tertarik dengan dengan cerita opah - nenek - tok wan - embah , semuga opah di panjangkan usia untuk hari2 seterusnya dan kita diberkatiNya.....

    ReplyDelete
  8. Salam lebaran...

    Kisah opah yg suka hidup sendiri mengingatkan kak su pada tok ma (tok sedara belah abg). Dia mmg hidup sendiri. Sesekali balik, kami akan ziarahi dia.

    Kak su dah lama kehilangan nenek. Atuk pulak tak penah kenal. Namun kenangan manis bersama mrk memang kekal dalam ingatan. Rinduuu...

    ReplyDelete
  9. Salam..

    Sedikit pembetulan tentang ejaan KHUSNUL DZHON..
    Jikalau dalam bahasa Arabnya Khusnul menjadi huruf Kha..ejaan sebenar ialah Ha' dan Sin..iatu Husnul Dzon bermaksud bersangka baik. Jika huruf Kha bertemu Shin boleh membawa maksud kasar.

    ReplyDelete
  10. oh ya ya..terima kasih..pernah ada yang tegur di tempat lain. cuma ana belum betulkan...insyaALLAH akan di betulkan secepatnya

    ReplyDelete

Komen. Terima kasih.