MARAH yang sepatutnya dan yang terlampau

by - 1:18 PM

Waktu : 7.35am, 1 Muharram 1429H, 10 Jan 08


Bismillahirrahmannirrahim.. Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Daripada Abu Hurairah r.a.:

Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.


Menegur dan marah


Teringat saya suatu ketika saya dan sahabiah menziarah rumah sewa sahabat lama kami. Sedang makan malam, tiba-tiba sahabat tadi menegur salah seorang daripada kami. Terkejut juga, namun masih terjaga hemahnya.


‘Oh iyeke?! Kenapalah selama ni tak pernah terdengar pun begitu?’ jawab sahibah saya, nada tertanya-tanya dan sedikit menekan. Sahibah yang menegur tadi mungkin rasa tercabar atau apa sebabnya, dia menjawab kembali dalam nada memerli dan sambil ketawa kecil.


‘tulah kamu, bukannya nak pergi majlis ilmu, dengar ceramah, tengok tv hiburanje yang tahu…’ kami semua agak terkejut. Berseloroh ke bergurau ke apa sampai mengeluarkan ayat begitu sekali. Apa lagi yang berlaku, maka jadinya perbalahan antara mereka berdua. Nasib baik sahibah saya yang ditegur tadi mengambil langkah mengundur diri kebilik, sudah tak jumpa jalan penyelesaian agaknya, dan menangis. Bungkam dan habis di situ.


Manusia pastinya tidak lepas dari melakukan kesilapan, dan itu perlunya ukhuwah buat menegur dan menasihati. Menegur dan menasihati secara tegas ini boleh dikategorikan sebagai marah yang masih boleh diterima. Kerana islam ada garis panduan dalam menegur sesuatu. Hemah dan menjaga kehormatan orang yang ditegur supaya teguran mudah diterima, dan kelak tidak terjadinya salah faham, kemudian menimbulkan kemarahan dan menghasilkan perbalahan.


Setakat mana kemarahan dan kesabaran kita?


Kemarahan merupakan lumrah bagi setiap hamba ALLAH swt. Namun, kemarahan dan amarah merupakan dua perkara yang sedikit berbeza yang dibataskan oleh perasaan dan kekuatan iman. Kemarahan adalah suatu perasaan yang hadir atas sebab-sebab mungkin disakiti dengan sengaja mahupun tanpa sengaja, namun dibatasi oleh satu perasaan sabar. Manakala, bezanya amarah apabila perasaan marah kita melampaui sehingga ada sesetengahnya bertindak mengherdik, meninggikan suara, menyakiti malah lebih teruk sehingga tergamak mencederakan dan membunuh orang yang berkaitan. Jelasnya, amarah adalah suatu perasaan yang tidak lain dikuasai syaitan dan tanpa kawalan iman dan kadangkala di luar kewarasan seseorang.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas”
(Al-Maidah : 87)


Jangan marah ertinya mengelakkan sebarang sebab yang membawa kepada kemarahan. Selain itu, ia juga bererti menahan marah bila dia marah. Maksud di sini ialah pengurusan tindakan apabila kita marah. Kebiasaannya, kemarahan boleh membawa kepada tindakan luar kawal bagi melaksanakan tuntutan ledakan marah seperti memukul, memaki hamun atau mengamuk. Namun, kebiasaannya, muslimah jika dilihat lebih cenderung kepada memendam dan memulaukan.


‘Kenapa pulaukan dia kot ye pun marah ke tak setuju?’ soal saya pada seorang rakan kerana saya perasan dia cuba-cuba menjauhkan diri dengan seorang lagi rakan kami. Dia diam tanpa menjawab.

Riwayat bukhari : " tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana gaduh) lebih dari tiga hari..yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam" ( al-Bukhari)


Di dalam buku karangannya al-Halal wal haram fil islam, Syeikh Yusuf Al-Qaradawi menyebut bahawa tidak bertegur sapa dalam hadith di atas adalah hasil dari pertengkaran dan pergaduhan berkaitan dunia semata-mata, adapun jika bertengkar dan tidak bertegur sapa berkenaan urusan akhirat, maka hukum tiga hari sebagai maksimum adalah dikecualikan berdasarkan kepada beberapa peristiwa sirah Rasulullah saw ketika perang Tabuk. Jadi berdasarkan ini, jelas dilihat bahawa marah yang dianjurkan adalah apabila ia mempertahankan yang hak, melihat kemungkaran dan apa yang dibenci oleh Allah swt. Itupun tidak digalakkan untuk berpanjangan melebihi tiga hari seperti hadith di atas.

Beritahulah jikalau tidak berpuas hati dan marah, kalau tidak orang tak tahu salah sendiri... jangan terus-terusan memulau, nanti orang sekeliling akan salah faham. Kan tak elok timbulkan fitnah. Dua-dua boleh dapat nama buruk. Lebih teruk, takut-takut influence orang lain untuk memulaukan orang tersebut.

Ini lagi satu masalah kita muslimah. Bila tidak puas hati atau marah, suka cakap belakang, mengumpat, sehinggakan ramai memulaukan orang yang diumpat. Dosa mengumpat tidak syak lagi adalah sebuah dosa yang agak besar.

"Adakah kamu suka memakan daging mayat saudara kamu?" (Surah Al-Hujurat:12)



Di satu ketika Jabir r.a mengatakan bahawa dia bersama Nabi SAW di satu tempat dan terbau busuk di tempat itu, lalu Nabi SAW berkata " Adakah kamu tahu apakah bau ini ? , inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin" (Ahmad, dengan perawinya thiqat).


Tidak mahu marah dan si penyabar


Aku bukan jenis marah-marah’ dan si penyabar adalah dua personaliti yang berbeza. Yang sama adalah pilihan mereka untuk tidak memarahi pihak yang menyakiti, itu sudah tentu perkara yang terbaik. Supaya yang lain tidak terluka. Namun, persoalan di sini, yang mana satu lebih dianjurkan agama?

‘Aku bukan jenis yang mahu marah, tapi jangan ingat aku tak kesah!! Sakit tu tetap ada..’. Hmm..bagaimana? Bukankah itu seakan berdendam namanya? Saya tertarik dengan satu ayat yang saya dengar di radio.

‘Memaafkan akan jadi lebih lengkap jika kita melupakan perkara tersebut di dalam hati’

Kalau benar-benar kita jenis yang tak boleh marah, maka berlapang dadalah, jangan disimpan dalam hati ataupun berdendam, cuma jadikan ia pengajaran supaya kita sendiri tidak mengulangi sekaligus melukai orang lain. Jika benar tidak boleh tahan, mengadulah pada ALLAH swt yang sentiasa mendengar dan maha mengetahui segala sesuatu. Tidak perlu beritahu yang lain. Namun, dalam menyimpan rasa yang sepatutnya, janganlah pula memulaukan orang tersebut. Jika masalah tidak besar, maka jangan diungkit, namun jika masalah dirasakan besar, maka berbincanglah sesama sendiri, semoga kelak ada jalan keluar dan tidaklah berbekas dihati. Inilah kita boleh katakan sebagai penyabar. Berbeza sedikit, bukanlah kita tidak kisah dengan sesuatu yang mereka lakukan pada kita, cuma, sikap boleh memaafkan dan redha atas perlakuan manusia.

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. "
( Surah An-Nahl : 126 )


Tidak mahu memaafkan


Pernah seorang rakan bertanya kepada saya, bolehkah untuk tidak memaafkan kesalahan seseorang yang juga sahabat kami yang benar-benar melukakan hatinya.

‘Mana tahu dia buat macamtu? Dia dah minta maaf?’ soal saya kembali. Dia mengangguk. ‘Jadi maafkanlah’ saran saya. Maafkanlah, itulah saranan saya pada umum dan diri sendiri. Kerana, siapalah kita yang tidak mahu memaafkan, sedangkan kita sendiri selalu melakukan kesalahan. Tidak menyukai perbuatan seseorang itu perkara yang patut, namun tidak memaafkan seseorang setelah dia benar-benar memohon kemaafan dan kesal dengan perbuatan tersebut, itu kurang relevan kerana seakan-akan kita tidak redha akan suatu ketentuanNYA. Ya sememangnya hak untuk memberi kemaafan tertakluk kepada mangsa, namun itu jika melibatkan dosa besar, walaubagaimanapun, islam sentiasa mengalakkan kita untuk memberi pengampunan dan bersikap belas pada mereka yang bersalah yang telah bertaubat dan insaf dengan benar.

Maafkan lah kerana itu mungkin bukan sahaja membantu kamu menenangkan hati kita yang sedang marak, marah mungkin membantu orang tersebut untuk tidak mengulangi lagi perbuatannya. Saya tertarik tentang satu kisah salafussoleh, Abu Darda berkaitan perkara ini.

Pada suatu ketika berjalan, beliau melihat sekelompok orang sedang mengeroyok seorang lelaki. Lelaki tersebut cedera teruk dibelasah dan dicaci maki mereka. Abu Darda' datang menghampiri, lalu bertanya, “Apa yang terjadi? Mengapa begini?”

Jawab mereka, “Orang itu jatuh ke dalam dosa besar.”

Kata Abu Darda', “Kerana itu janganlah kalian caci maki dia, dan jangan pula kalian pukuli. Tetapi berilah dia pengajaran dan sedarkan dia. Bersyukurlah kalian kepada Allah yang senantiasa memaafkan kalian dari segala dosa.”

Tanya mereka, “Apakah Anda tidak membencinya?”

Jawab Abu Darda', “Sesungguhnya saya membenci perbuatannya. Apabila dia telah menghentikan perbuatannya yang berdosa itu, maka dia adalah saudara saya.”

Orang itu menangis dan taubat dari kesalahannya.


SubhanALLAH, bukankah memaafkan dan menasihat kan itu lebih indah dari berdendam dan memulaukan? Dalam hidup ini sememangnya sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana sudut pandangan yang berbeza dan khilaf dari diri kita masing-masing yang serba kurang ini. Oleh sebab itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu.


Sakit ini satu nikmat
Kerananya kita menyedari akan perihal rahmat
Hikmah yang tersembungi di dalam langit tinggi
Hanya pemilik langit dan bumi yang mengetahui
Kesembuhan itu aku tidak ingini
Keredhaan itulah yang aku dambai

~Aidh Abdullah al-Qarni, La tahzan~


Marah itu suatu kesakitan. Bersyukurlah dan berusahalah untuk bersabar semampunya tanpa ada bekas di hati, kerana di setiap redha kita akan ujian kesakitannya, di situ lah terletaknya rahmat. Rahmat anugerah dari ILAHI, sebagai tanda tarbiyyah dariNYA.


You May Also Like

0 komen

Komen. Terima kasih.