Surat AYAH
Mata ayah tidak berhenti berkedip laju saat lima waktu itu. Kemerahan menggambar rasa hati yang pelbagai namun bersatu dalam erti syukur yang mendalam. Emak lemah di sisi katil saat lima kali itu, bersama mungil senyumnya dan linang air mata tenggelam dalam syahdu azan yang berbisik.
Ayah tidak pernah sekali memberitahu dalam barisan ayat bagi setiap rasanya. Ayah bukan ego, tetapi takut perasan kekasih ayah terganggu, itulah sifat melindungi ayah. Tapi hakikatnya, saat lima kali dalam masa sembilan bulan setiap satu, ada dua perasaan besar tergantung di hati ayah, gembira dan risau. Gembira kerana keluarga yang dibina bakal mengembang lagi, risau akan keadaan sang rusuk diri yang bertarung nyawa demi memanjang nilai cinta. Tetapi ayah tahu, ALLAH Az Zawajalla itu Al Wadud, dan ayah hanya boleh mengharap padaNya. Jika kedua generasi itu hidup bernyawa, syukur alhamdulillah sememangnya tanggungjawab ayah terus terpikul buat setiap kekasih hati ini. Namun jikalau pun sang rusuk diri menghadap ILAHI setelah bertarung melahir zuriat kami, lalu itu lah saat janjiNya dengan ALLAH swt telah terpatri sejak azali. Dan tiada lain yang mampu ayah lakukan mahupun kesalkan, tetap du’a semoga husnul khatimah itu menjadi miliknya.
Alhamdulillah selama lima kali itu ALLAH swt yang maha pemurah memberi kelanjutan nafas pada sang rusuk ayah untuk bersama ayah menjaga lima cahaya hati yang bakal ayah kemudi buat mencari nilai insan kepada Ilahi dan nilai diri kepada insani. Dan tetap du’a ayah tidak mampu terputus pada Ilahi semoga bait ini mampu membuah jannah di hati. Ayah bukan lelaki hebat iman dan amalnya, nilai pendidikan ayah juga tidak tinggi. Tetapi harapnya bersama keluarga ini dapat ayah menyemai nilai hamba sepenuh kudrat dan kemampuan ayah, dengan setiap titisan ilmu yang mampu ayah kutip walau bukan di sekolah atau di mana-mana institusi. Kerana ayah tahu, ALLAH swt itu tidak menilai hambaNya leka seperti insan menilai manusia lainnya. Zahir dan nyata itu kapasiti penilaian insan, sedangkan ALLAH swt itu miliki dan mengetahui setiap semua termasuk yang ghaib.
Kerana emak sudah lima kali itu memerah kudrat infiniti yang ayah sendiri sebenarnya tidak tergambarkan, maka ayah amat memahami kenapa syurga itu terletak di telapaknya, bukan ayah. Dan ayah patuh bahawa sayang kepada emak itu datang pada tiga di awalnya barulah kemudian datangnya ayah. ALLAH Az Zawajalla itu amat adil, bahkan kudrat ayah membanting tulang mencari rezeki juga mana mungkin dapat mengganti kudrat ibu melahir lima penyambung kaseh kami. Ayah gembira malahan amat menyayangi emak dan ibu ayah sebegitu hendaknya.
Ayah terlalu bersyukur kerana kalian tetap gembira di dalam kepayahan keluarga ini, walau terkadang pagi mengais petangnya barulah menghadam rezeki, tetapi kalian tetap optimis dengan ayah. Menumpang kegembiraan kalian, ayah puas dengan rezeki sedikit ini kerana itu yang menyatu hati kita.
Anak-anak ini seperti bangunan, kita mesti fahami tahap kebolehannya menahan tekanan, jika diberi lagi tekanan berlebihan, takut nanti ia terus roboh tanpa siap seperti perancangannya. Seharusnya kita membinanya berhati-hati, melihat cara dan bahan bagaimana yang mampu membuat sesuatu bangunan itu kukuh, jika betul caranya, insya’Allah bangunan itu mampu berdiri tegak dan kuat, malah mungkin menjadi suatu bangunan ternama suatu hari nanti. Sungguh karenah kalian amat menghibur ayah. Ayah benar hadam setiap keletah kalian, yang setiapnya ada kelebihan masing-masing yang membanggakan ayah. Setiapnya mewarna rasa berbeza di dalam jiwa, kalianlah pelangi hidup ayah. Walau terkadang ngilu juga menahan rasa, tetapi ayah tidak mampu menyembunyikan bahagia. Lima permata ayah, terdapat ribuan perbezaan lagaknya. Lelah ayah tak pernah anggap sebagai beban, malah ia amanah ayah dengan Tuhan. Janji ayah saat emak bersetuju menerima ayah sebagai suaminya. Sementelah terlafaz aqad, rasa tanggungjawab itu kejap menyelinap, sehingga sehela nafas pun ayah berat untuk menganggap kalian ini beban.
Maafkan ayah jika ayah lokek dengan pernyataan. Entah kenapa ayah merasakan, perkataan tidak mampu mewakili segala penghargaan. Tetapi ya, sekurang-kurangnya perlu juga meluahkan, itu yang terbaik. Lalu maafkan ayah untuk tidak menyatakan. Tetap dada ayah sarat dengan lafaz yang tersimpan. Mungkin itu kelemahan ayah, tetapi ayah harap kalian terima kelemahan ayah seperti mana ayah menerima kalian. Kelemahan kalianlah kekuatan ayah, kelebihan kalian itu pelengkap ayah. Dan harapnya kelemahan ayah mampu menjadi kekuatan kalian juga. Ya kekuatan, kekuatan untuk kalian untuk tidak mengulangi kelemahan seperti ini terhadap kemudi kalian akan datang.
Ayah dan emak tidak pernah menganggap diri ini berkorban. Kerana semua ini tanggungjawab, malah kami berasakan jika kalian terabai, kami ini tidak berkelengkapan. Terasa diri sungguh kekurangan.
Tetapi sebagai ayah, ayah mengharapkan kalian menghargai emak, ibu kalian sang rusuk ayah. Lima kali ayah menyaksi keperitan emak melahirkan, dan sementelah itu dia yang menggenggam ribuan tanggungjawab tanpa keluh kesah dengan senyum yang tetap indah. Kerana tahu diri itu sebagai rusuk keluarga, dan hidup ini tetap dalam aturanNya.
Pernah sekali emak memarahi anaknya, dan salah seorang kalian mungkin tidak tahan melihat emak menangis, lalu meminta ayah memujuk dan menasihati emak untuk bersabar dan berhenti. Ayah menggeleng. Sungguh bukan ayah tidak mahu dan tidak kasihan, tetapi biarkanlah emak meluahkan sedikit setelah penat ia menyimpan rasa hati.
‘Emak penat berkerja untuk ayah dan keluarga. Sedang dia sebagai isteri bukan itu tanggungjawabnya. Jadi biarlah jika dia mahu marah atau mebebel sedikit. Mungkin itu menghilang lelahnya. Janganlah melawan ya nak. Kasihan emak. ‘
Nasihat ayah pada kalian. Syukur semua mengangguk faham.
Sungguh bukan niat ayah untuk bias, membezakan kasih antara kalian dengan emak. Tetapi sungguh, ayah merasakan itu hak terbesar emak kepada kita semua.
Maafkan ayah kerana ini sahaja yang mampu ayah berikan buat kalian. Ayah kini sudah tua, menjadi pesara rupanya amat payah sekali. Terutama apabila berfikir akan apa lagi yang mampu ayah sumbangkan buat kalian. Tiada mungkin. Along, angah dan alang juga sudah berumah tangga. Kalian sudah ada bait sendiri yang bakal kalian tempuhi. Du’a ayah kalian kekasih ayah selamanya, moga kalian membuat sehabis baik dan lebih baik dari ayah dan emak.
Emak selalu kata, kami tidak pernah mengharapkan balasan mahupun wang. Benar, sekali pun tidak pernah fikirkan itu. Tapi cukuplah sekadar kalian sudi menyumbang du’a juga buat kami dan pengakhiran kami. Kalianlah harta yang ayah bakal tinggalkan dan kutip sedikit ni’matnya di akhirat kelak.
Jika di tanya kepada hati seorang ayah, apakah yang dia harapkan akan masa depan anak-anaknya? Ayah sebenarnya amat mengharapkan kalian berjaya tentang urusan-urusan akhirat kalian. Kerana kalam Pencipta telah berkata, jika kita meletakkan dunia di dalam hati kita, maka dunialah yang Dia akan berikan kepada kita. Tetapi jika akhirat kita sematkan di sudut hati kita, maka Dia akan berikan kita kedua-duanya, dunia dan akhirat. Justeru, ayah memang tidak pernah meletakkan harapan kalian menjadi orang besar kelak, tetapi biarlah kalian besar dengan iman dan amal. Dan semua itu amat memerlukan kepada ilmu.
Tetapi janganlah bersalah sangka nak, ayah tidak sekali memandang hina jika kalian tidak berjaya ke menara gading, kerana bukan di situ letaknya kesemua ilmu, galilah ilmu di mana jua kalian berada dan di letakkan, kerana sesungguhnya ilmu itu sentiasa berada di sisi manusia. Bacalah, dan bacalah. Di situlah kunci segala ilmu, untuk meraih dunia dan juga akhirat.
Anak-anak ayah dan emak, adalah kekuatan diri ayah. Ayah mahu menjadi hambaNya yang terbaik melalui kalian. Ayah juga di uji melalui kalian. Ayah di beri ganjaran ni’mat dan rahmat juga melalui kalian. Lalu ayah benar-benar bersyukur atas kehadiran kalian. Dan amat-amat berterima kasih kepada kalian. ALLAH Az Zawajalla jualah yang memberi nikmat kasih sayang pada hati insan bergelar ayah dan emak, islam lah yang menyebar debunga wangi ini di seluruh pelusuk dunia buat membentuk jundi yang bakal melatari dasar dunia membentuk bentangan indah sebuah kehidupan mawaddah di akhirat kelak. Lalu jangan sekali kita lupakan Dia Pemberi ni’mat kasih dan cinta ini.
Buat anak-anak ayah, jika tercicir, bangkitlah. Jika tersasar, beralihlah kembali. Kembali sebagai anak-anak ayah yang telah melafaz syahadah semenjak kecilnya. Yang berwariskan agama ini, ia bukan warisan sekadar namanya, tetapi subur kanlah dengan amal-amalmu. Kalian pewaris ayah, dan ayah wariskan semerbak wangian jalan mardhatillah ini buat kalian mengemudi bahtera kalian pula. Mungkin, inilah satu-satunya harapan balasan ayah dan emak dari kekasih hati ayah semua.
Ayah dan emak kini kembali berdua, berbulan madu dirumah ini. Namun hati dan du’a kami sentiasa buat kalian, kekasih-kekasih hati ayah, semoga barakah dan inayah ALLAH Az Zawajalla sentiasa melingkari hidup kita sekeluarga dan tarbiyyah Nya menemani setiap derap langkah kita menyemai benih di dunia, sebidang ladang buat akhirat.
Du’a buat kekasih hati sehingga terputus nafas ini
~Ayah~
---
NOTA BUAT AYAH
Senyum mu memekar
Pandangan lirih tak terlawan
Diam tak terungkap suara
Lirik mata cukup mengungkap atma
Biar berbisik ikhlas tidak terlafazkan
Ayah, menyampai makna dalam ribuan belaian
Biar kaku tiada sendu
Ayah, merah mata mu memujuk jiwa ku
Diam mu tatkala ku berduka
Sapa mu saat diri ini leka
Memayung dari badai dunia
Menyedia teduh dengan pepohon iman
Saat zaman menelan nilainya insan
Teruslah ayah dengan bicara bisu mu
Jika itu memberi keselesaan
Pasti gerak tubuhmu penuh dengan keikhlasan
Namun jangan dikau hilangkan renung wajahmu
yang kejap dengan dahan sokongan
Sungguh, itu juga cukup bagiku
Memahami bahawa dalam mu sesak dengan isi kecintaan
Buat ayah
Sebelum ku mencium tanah ini
Ingin sekali kukhabarkan padamu
Du’a balasku buat ayah kekasih hati
Agar keterlewatan tidak membeban diri
sampai terjejaknya ajal di sisi diri
Mengajak ku atau ayah ke sisi Ilahi
Du’a ku tidak setara mu
Korbanku tidak semahal mu
Tetapi tetap juga ku bermohon moga
Cinta ini tidak pudar melewati usia ku
Dan semoga cinta dan du’a ku juga menyubur sehingga ke hela terakhirku
Semoga ayah mendengarkan ku
Lewat balasan renungan wajah ku
detik ini
Du’a buat kekasih hati sehingga terputus nafas ini
-nahwanNur-
11 komen
sempoi bermonolog
ReplyDeleteSurat Ayah dan Nota Buat Ayah sungguh menyentuh kalbu, sebagai ayah yang punya anak-anak yang berbeda sikap dan minda dan tanggapan yang pernah dilanda musibahkehidupan memang kasih sayang anak-anak sangat bererti paling-paling disaat sepi dan dalam kerinduan, semoga anak dan ayah diluar sana mengerti dan menghargai kasih sayang dan waktu yang masih berbaki. Penang, Malaysia
ReplyDeletemohon share yer. sangat tersentuh.
ReplyDeleteya silakan. Syukran kembali atas ziarah :)
Deletekasihnya ayah membawa kesyurga
ReplyDeletemacamana nak share, mohon copy yer...
ReplyDeleteya silakan. Terima kasih atas ziarah :)
DeleteSedap puisi ni...berisi..
ReplyDeletesubhanalloh
ReplyDeleteMOHON SHARE (:. SYUKRAN
ReplyDeleteya silakan. Wa iyyaki. Syukran kembali atas ziarah :)
DeleteKomen. Terima kasih.