Setiap hari itu hari istimewa emak di hati Saya

by - 10:01 PM

Ring tone handphone saya berbunyi. Tertera nama 'Ayahku Sayang'. Senyum.

"Assalamualaikum... Selamat Hari Ibu" kata emak sejurus saya mengangkat talifon.

"Hahaha.... waalaikumsalam ustazah, Selamat Hari Ibu" jawab saya.

"Saja ja emak talifon. Tunggu-tunggu takde pun orang sibuk call. Lambat..." beritahu emak. Tersengih saya emak menggelar saya 'orang sibuk'.

"Hehe, tak lupa, baru je Lah beli topup. Ingatkan nak call lepas maghrib" Jawab saya di hujung talian.

"Ha! Lupa lagi lah tu?!" serkap emak lagi. Faham benar emak akan kelemahan ingatan saya.

"Taklah, tak lupa. Hari-hari pun hari ibu di hati Lah..." pujuk saya.

"Ah kamu. Suka main-main" cuit emak, malu atau suka mungkin.

Senyum.


SEKOLAH EMAK

1

"Kenapa kamu selalu datang kelas ustazah ni Zali?" soal emak. Saya mencebik lelaki di depan emak. Entah kenapa suka benar dia melepak di kelas emak sedangkan kelas kami di sebelah. Saya ini lainlah, sebab ini kelas emak saya.

"Ustazah Ru tu garang sangat. Tak sporting. Lainla macam ustazah. Seronok kat sini. Kenapa la ustazah tak ajar kami setiap tahun" bodek lelaki itu. Saya mencebik lagi. Cemburu barangkali. Emak memang begitu. Sangat 'berlembut' melayan anak muridnya. Termasuk tahun ini, sudah 17 tahun emak melayan chenta itu. Berbekalkan kelulusan empat tsanawi nya, emak mengajar di SAR (sekolah ugama rakyat) dengan gaji yang jauh lebih rendah dari guru-guru lain. Walhal kerjanya pagi hingga petang. Tak mengapalah, itu sahaja rezeki emak, dan pasti ada rezeki lain yang sebenarnya juga hasil usaha emak mendidik kami semua, cumanya tidak tertulis di dalam slip gaji.

2

"Ah, emak kamu ustazah sini. Tentu kamu sudah tahu soalan dan jawapannya!" sinis kata-kata sahabat saya di sebelah kerusi sewaktu penyampaian hadiah. Sewaktu itu saya mendapat anugerah pelajar terbaik bahasa arab tahun 2.

"Ya, sebab emak kita guru di sini. Dan di rumah mengajar kita bahasa arab. Tapi kita tak pernah tahu dan tak tahu pun waktu bila emak buat soalan pereksa." jawab saya, sakit rasanya hati sewaktu itu.

"Ah itulah daleh namanya!" dia semakin menjentik saya. Saat kebudak-budakan itu, saya masih belum reti untuk marah, lalu saya lari kepada emak dan menangis.

"Orang boleh kata apa sahaja. Yang penting, jujur sama ALLAH swt, sebab dia yang paling kita boleh percaya" pujuk emak. Senyumnya melebar. Dan saya terusan menangis tanpa naik kepentas untuk mengambil hadiah. Merajuk.

3

"Eh, ini basikal emak engkau ya?!" jerkah seorang pelajar lelaki saat saya menunggu emak di garaj basikal di perkarangan sekolah. Emak masih di dalam kelasnya, menyapu dan membersihkan kelas, rutinnya sebelum pulang. Saya mengedutkan dahi. Ragu-ragu akan persoalan yang tiba-tiba di ajukan.

"Ha, aku tahu ini basikal buruk mak engkau. Nah ambik ni!" katanya lantas menendang basikal tua emak dengan kuat sehingga jatuh. Saya kaget. Pelajar lelaki darjah enam itu pelajar mengaji emak di rumah. Kenapa dia harus buat begitu? Sejurus itu dia terus lari sambil berdekah-dekah ketawa. Saya menangis di sisi basikal emak yang jatuh sehingga emak datang.

"Eh, macamana boleh jatuh macam ni? Kenapa tiba-tiba menangis ni?" soal emak lembut sambil mengangkat basikal tua warna hijau lumutnya. Mengambil beg sekolah saya, lalu masukkan ke dalam raga. Dan mengangkat saya duduk di tempat belakang. Dalam esak saya menceritakan perbuatan lelaki tadi.

"Ohh, biarlah, budak-budak tu. Tak rosak pun basikal ni. Dah, jom balik. Pegang kuat-kuat, jatuh nanti." pujuk emak. Payah-payah emak mengayuh basikal tua itu mengajar mereka, jarak rumah kami ke sekolah yang memakan masa 15 minit. Dengan keadaan muka bumi berbukit bukau, dengan gaji yang tidak sampai separuh ribu, itu balasan mereka. Saya terus menangis, sangat kasihan kan emak saat itu. Walau dalam senyumnya.

Sebagaimana emak mendidik mereka, sebegitulah emak mendidik kami adik beradik. Dan saya pasti, terkadang sebagai mereka juga lah saya terkadang lakukan kepada emak dan ayah. Mereka membelai, kita membidas badai. Mereka menatang, kita menentang. Mereka menasihat, kita mencalar setiap kepercayaan dan nasihat mereka. Hanya bagi mereka yang tahu ibu itu siapa, pasti dia kurang dan sentiasa menyedari salah silapnya tindak tanduk kita terhadap insan bergelar ibu dan bapa.

"Ibu ibarat sekolah. Jika kamu menyediakannya, bermakna kamu telah menyediakan satu bangsa yang unggul"

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi


1, 2 DAN 3

"Nahwan, minggu ni aku kena balik lagi. Mak aku masih di hospital. Aduh macamana kerja bahagian aku tak siap lagi. " kata sahabat saya.

"Tak mengapa. Ibu itu kerja amanah bahagian kamu yang lebih aula' untuk kamu kerjakan. Baliklah, bahagian kamu nanti kita tolong." kata saya kepada kawan.

Persoalannya benarkah begitu? Sedangkan apa yang sahabat saya ini perlu tinggalkan adalah kerja jemaah. Ya. Kerja jemaah.

Tercatatnya suatu sirah tentang seorang pemuda yang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w untuk meminta dirinya diletakkan di barisan pejuang agama ALLAH swt di dalam medan perang. Lalu bertanya Rasulullah saw,

"apakah sudah kamu berbakti kepada ibu kamu?"

"Belum ya Rasulullah" jawabnya

"Lalu pulanglah kepada ibu bapa mu. Dan berbakti lah kepada mereka. Kerana itu perjuangan untukmu saat ini. Dan datanglah kembali kepada kami untuk perang yang akan datang, dan berperanglah bersama kami." Beritahu Rasulullah saw. Lalu pulanglah pemuda itu untuk berbakti kepada kedua ibu bapa nya.

Dan begitulah terukir peri indahnya setiap tanggungjawab kita atas setiap perkara di dunia. Malah terdapat banyak hadith Rasulullah saw tentang keutamaan berkhidmat dan bakti kepada ibu bapa. Ingat sahaja lirik lagu Yusuf Islam, 'Your mother'.

"Satu, satu, hadif sayang Ibu... dua, dua, sayang ibu lagi... tiga tiga, hadif sayang ibu, yang ke empat, baru sayang ayah.." nyanyi angah saat bermain dengan anak pertamanya dalam versi rekaan sendiri.

"Ish ibu... mana aci sampai ke empat baru ayah." bangkang abang ipar saya.

"Hehe, jangan main-main tau. Ini hadith nabi." balas angah. Abang ipar saya ketawa. Mengalah.


NOTA BUAT EMAK

Sebelum ku mencium tanah
ingin sekali kukhabarkan padamu
bicara cintaku ini
agar nanti tidak ku terlewat
dan ajal datang menjemputku atau dirimu pulang
ke sisi sang Khaliq
Cintaku tidak akan pudar seiring usiaku
dan aku akan mencintaimu hingga akhir hayatku…
semoga kau mendengarkanku
saat ini…

You May Also Like

3 komen

  1. Berdasarkan pemantauan saya ibu kamu pastinya seorg ustazah yg disegani ramai.. :) wow.. ingin sahaja saya berpindah ke sekolah ibu kamu seandainya waktu boleh diputar kembali.. kemudian, boleh la kita sekelas bukan? :p

    ReplyDelete
  2. Wah farhan. AHlan wasahlan :)

    Saya menyegani ibu saya, tapi entahla bagi pelajar yang lain. Saya akan jadi follower kamu ya :)

    p/s: Seronok juga sekelas dengan kamu. Boleh saya belajar bahasa arab dan inggeris dengan kamu :)

    ReplyDelete
  3. Bertakung mata ini dibuat dek catatan kamu dik...

    ReplyDelete

Komen. Terima kasih.