Siti Khadijah r.a contoh ibu mithali Muslim
Selain itu, beliau adalah seorang ‘al-wadud al-walud’ iaitu wanita penyayang dan subur. Hasil perkongsian hidup beliau dengan Rasulullah SAW, dikurniakan empat puteri dan tiga putera. Sifat isteri salihah dan keibuan boleh dicontohi dan dijadikan iktibar daripada perjalanan hidup Saidatina Khadijah antaranya:
Tenang dan menenangkan jiwa Rasulullah SAW di kala sedih dan gelisah. Diriwayatkan kehebatan Saidatina Khadijah ialah beliau seorang yang tenang dan berjaya menenangkan Rasulullah SAW selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’.
Baginda Nabi SAW yang berada dalam keadaan ketakutan dan gementar ditenangkan Saidatina Khadijah dengan katanya:
“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.
Kata-kata lemah lembut dan manis inilah yang membuatkan hati Baginda tenang. Perasaan takut yang terbaca di raut wajah Rasulullah SAW hilang berganti cerah dan terang.
Selepas peristiwa di Gua Hira’ yang menandakan Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul Allah, maka dengan tidak ada sebarang keraguan di hati Saidatina Khadijah untuk menerima Islam.
Ummul Mukminin ini penyokong kuat Rasulullah SAW dalam menggerakkan usaha dakwah. Beliau pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah SAW.Wanita yang diberi gelaran Ummul Mukminin (Ibu bagi mukmin) adalah seorang yang hebat untuk dijadikan Ibu Mithali bagi setiap individu Muslim.
Mendukung perjuangan suaminya Rasulullah SAW dengan semangat dan jiwa seorang pejuang, berpaksikan kepada kekuatan iman. Walaupun secara fizikalnya, Saidatina Khadijah tidak mengalami gangguan dan ancaman kaum Musyrikin, tetapi sebagai seorang wanita, beliau turut berasakan penderitaan dan kesedihan jika suaminya menerima tentangan dahsyat dalam menyebarkan dakwah Islam.
Menghadapi saat suka duka dan susah senang bersama Rasulullah SAW. Perkara ini dapat disaksikan dalam peristiwa pemulauan dilakukan oleh kafir Musyrikin terhadap Bani Hasyim dan Bani Mutalib selama tiga tahun.Beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sejuta jasa ditaburnya untuk memberikan perlindungan dan pembelaan kepada suaminya dalam melaksanakan tugas kerasulannya.Pahit getir dalam menempuh hidup sebagai pejuang Allah dirasakannya. Pelbagai ugutan dan cabaran diharungi bersama Baginda lantaran demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jasanya dikenang Rasulullah SAW selepas beliau pergi dijemput menemui Allah SWT. Diriwayatkan pada suatu hari Khaulah Binti Hakim bertanyakan baginda:
“Ya! Demi Allah, Khadijah itu pentadbir dan suri rumah yang baik”.
Selepas itu, baginda memperisterikan Saudah Binti Zum’ah dan Saidatina Aisyah. Ingatan Baginda terhadap Saidatina Khadijah juga amat mendalam sehinggakan Saiditina Aisyah berasa cemburu terhadap Khadijah. Dalam satu riwayat diceritakan bahawa pada suatu hari, Halah Binti Khuwailid, saudara perempuan Khadijah datang menemui Baginda dengan penuh adab kesopanan seperti adab Khadijah meminta izin mengadap Rasulullah SAW. Baginda berasa gembira melihat perlakuan Halah dan mengungkapkan: “Ya Allah, Halah Binti Khuwailid”.
Mendengar ucapan itu Aisyah cemburu dan berkata: “Kenapa engkau masih mengingati wanita Quraisy yang sudah tua, bermulut merah dan sudah tiada. Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih baik daripadanya?” Lantas Baginda menjawab:
“Tidak! Beliau beriman ketika orang lain mengingkariku. Beliau mempercayaiku ketika orang lain mendustakanku. Beliau membantuku dengan
hartanya, ketika orang lain tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniakan aku anak darinya, tidak daripada isteri yang lain.”
Keutamaan Khadijah di sisi Allah dan Rasul-Nya dipandang tinggi. Diriwayatkan bahawa Allah menyampaikan salam-Nya kepada Khadijah ketika hidupnya melalui Jibril yang disampaikan kepada Nabi SAW.
Baginda menyampaikan salam itu: “Wahai Khadijah, sesungguhnya Jibril sudah menyampaikan salam kepadamu dari Allah Rabbil ‘Alamin”. Khadijah menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.”
Ibn Abbas menceritakan keutamaan Saidatina Khadijah pada kaca mata Rasulullah SAW amat tinggi. Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat garis di atas tanah, Baginda pun bertanya kepada sahabat: “Adakah kamu sekalian mengetahui mengenai ini?” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.”
Baginda pun bersabda: “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam Binti Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad.”
INTI PATI Saiditina Khadijah
Seorang yang tenang dan berjaya menenangkan Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama di Gua Hira’ selain penyokong kuat Rasulullah SAW dalam menggerakkan usaha dakwah.
Pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah SAW.
Meninggalkan segala kemewahan demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta memberikan perlindungan dan pembelaan kepada suaminya.
Sanggup mengharungi pelbagai ugutan dan cabaran bersama Baginda lantaran demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Tahun Baru :: Setakat Mana kesedaran kita?
Kita semakin tewas
Ada beberapa persoalan melalui satu soalan yang saya utarakan. InsyaALLAH dan dengan izin ALLAH swt, tuhan pengatur dan penentu segalanya, kita bakal menyambut tahun baru. Sejak sebulan lalu, kita sudah dipromosikan dengan pelbagai aktiviti yang bakal menyinari gerbang tahun baru kita, tahun masihi. Namun, amat mengecewakan apabila tidak ramai yang mengetahui ataupun menyedari bahawa kita umat islam juga bakal menghadapi tahun baru hijriah. Mengecewakan..benar-benar mengecewakan! Manakan tidak, sambutan masihi benar-benar mengagungkan ‘masihi’ sehingga membutakan umat islam sendiri dengan kehadiran tahun baru hijriah, awal muharram. Sejauh mana kesedaran kita? Tentang hal ini? Sejauh manakah kita sedar bahawa kita telah kalah didalam peparangan ideologi yang di isytiharkan oleh kristian selepas kekalahan mereka didalam perang salib? Ya..mereka benar, umat islam hanya akan kalah jika mereka menggunakan ‘senjata’ ideology, menyuntik pemikiran kita dengan ideology barat yang baru yang mana kononnya lebih ‘universal’ dan adil atas nama ‘demokrasi’. Dan..kita semakin kecundang! Remaja ku semakin kecundang! Bantu kami ya ALLAH.
Islam just a blind-off?
Sebagai Negara yang mewar-warkan kepada dunia bahawa kita sebuah Negara islam, dimanakah maruah islam kita letakkan? Keutamaan mana yang kita letakkan? Sedarkah kita tentang persoalan saya ini?!
Bukan niat saya menafikan kenyataan kita sebagai satu Negara islam, cuma saya mahu membangkitkan tentang peranan ‘kita’ dalam mencorak sebuah Negara yang benar-benar islam. Jangan hanya pada nama! Biar ada pada keseluruhan. Laksanakan sistem berteraskan islam, bertunjangkan al-quran dan sunnah.
Takutkan kata bangsa lain? Kenapa? Islam tidak universal kah? Jadi mengapa harus melabel Negara kita sebagai Negara islam? Jangan hanya kerana majoritinya muslim, buktikan juga bahawa islam lah agama yang paling universal. Yakinlah ia memang universal. Jangan hanya pandai berkata-kata, tapi, takut untuk bertindak! Lihat sahaja sirah Rasulullah s.a.w. dalam bidang pentadbiran dan perlaksanaan sistem islam, bukan sahaja baginda dan agama islam itu dihormati oleh semua, malah ia juga berjaya menarik manusia memeluk agama yang sememangnya cukup hemah dan praktikal bagi semua.
Bukanlah saya demand pada perubahan secara mendadak, tapi, boleh dilakukan malah lebih baik melakukan sedikit demi sedikit. Seperti sirah da’wah Rasulullah s.a.w.. pada mulanya secara rahsia, kemudian terbuka, dan menyusul kepada penghijrahan baginda ke Yathrib, kembali ke Makkah, penyatuan kaum, dan sebagainya.. Nabi Muhammad s.a.w. sesungguhnya sebaik-baik contoh, qudwah hasanah.
Tetapi, yang saya kecewakan, perlaksanaan ‘sistem islam’ hanya dilihat sebagai ‘blind off’ kepada kemasukan ideologi barat. Itupun sedikit. Apa perlu menukar nama islam kononnya yang lebih baik dan ‘universal’ dari yang asal, sedangkan kita hanya mengambil dan melaksanakan islam separuh-separuh, yang suka kita ikut, yang tak setuju kita tinggalkan dan ambil ideologi barat yang kononnya lebih ringan dan universal… Tiada agama yang universal selain islam yang kaffah, yang cukup syumul.
Jangan takut berumah ditepi pantai jikalau takut dipukul ombak.
Jangan cuba menaiki tangga pemerintahan, melaungkan harapan, tetapi takut kepada perlaksanakan kerana kononnya takut ‘rakyat yang majmuk’ tidak boleh terima. Cuba, try, test..laksanakan dahulu baru tahu! Perlu ada ‘check and balance’ baru boleh berjaya. Jangan angkuh berdiri sendiri dan menolak teguran. Berlapang dadalah demi kebaikan Negara dan agama tercinta.
Saya cintakan Negara saya
Cintakah kita kepada Negara? Sedarkah kita sebenarnya berapa dalamkah kecintaan kita pada Negara sendiri? Hingga sanggup dihenyak-henyak oleh Negara lain, mendambakan kemasukan komuniti Negara lain.. tidak kiralah dari segi pembangunan, ekonomi atau apa sahaja. Kononnya, mempromosikan Negara sendiri..promosi untuk jualan atau apa? Fikirkanlah… cuba soal pada penduduk johor.. berapa kerat yang mampu menyertai pembangunan wilayah iskandar? Mengikut laporan akhbar-akhbar, WPI banyak menarik pelabur arab..apakah maksudnya ini?
Soal juga kepada pengurusan putrajaya. Berapa peratuskah penglibatan tempatan dalam setiap pembangunannya? Yang ini saya boleh tolong jawabkan kerana pernah saya terlibat dengan salah satu projek mega di putrajaya. Projek ini menelan belanja hampir RM 80 juta, walau kawasan hanya sekangkang kera. Bagi saya yang mana bidang ini merupakan periuk nasi saya, professionalism saya, boleh saya katakan, budget kebiasaan bagi tanah dan projek sebesar ini, paling-paling mahal pun sebelum ini mungkin lebih kurang RM 20 juta. Mungkin tidak lebih.
Cuba bayangkan wang kita (kerana kita yang bayar cukai) sebanyak 80 juta, hampir 70% kita berikan kepada ‘orang luar’. Bayangkan dalam 10 kepakaran bagi projek ini, hanya ‘kami’ bertiga kepakaran dari Malaysia. Landskap arsitek, bahagian penyelenggaraan dan bahagian pengurusan. Hanya 3 bahagian kepakaran yang diambil dari kompeni Malaysia, itu pun 3 bahagian kecil yang tidak sampai RM15 juta bahagian daripada RM 80 juta. RM 65 juta kita bayarkan untuk ‘orang luar’.
Hmm.. jadi jangan kisah lah kalau kita terus-terusan melihat ‘saudara senegara’ sendiri merempat sedang Negara kita semakin membangun. Membangun untuk ‘orang lain’! salah kah kita? Salahkah anak yang ditinggalkan ibu bapa dek kerana nak menyusukan kera dihutan?! Bukan, bukan salah kita. Sebenarnya, bukan salah kita sepenuhnya. Saya tetap yakin ada sebahagian salah kita. Salah kita hanya angguk-angguk, geleng-geleng-geleng, tidak bersuara, kurang ketegasan dalam menegur.
Kisah teladan salafussoleh
Teringat suatu forum di portal ukhwah.com. Saya suka berforum di sini. Ada pendapat, ada sangkalan, ada persetujuan, dan akhirnya kita sendiri yang simpulkan, ikutlah, jika bijak, simpulkanlah mengikut apa yang telah digariskan oleh Al-quran dan sunnah, jangan terlalu ikut hati, melalui pemahaman membabi buta, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Acualah simpulan dengan keimanan.
Back to the forum, setelah agak ada sedikit perselisihan, hadir suatu komen yang menceritakan kisah pemerintahan salafussoleh. Tersentuhnya baca cerita tentang Hassan Al Basri dan Khalifah Harun Al Rasyid...boleh baca pada posting bertajuk Khalifah Harun Al-Rasyid dan Hasan Al-Basri.
Kita memang amat-amat memerlukan ulama' yang outspoken begini saat-saat ini dan amat-amat memerlukan pemimpin yang terbuka menerima teguran dan kritikan.. tidak mudah melatah, malah mengambil yang baik sebagai ingatan dan panduan. Itulah konsep ‘check and balance’ untuk memastikan keberkesan suatu sistem dan membawa manfaat untuk semua.
Moga dalam marah-marah kita semua atas kelemahan mereka dan ketidakpuasan hati kita, doa kita tak kan putus supaya lahirnya semula orang-orang seperti Hassan Al Basri dan Khalifah Harun Al Rasyid dan tertegaknya kembali syariat ALLAH swt di bumi yang kita cintai.
Khalifah Harun Al-Rasyid dan Hasan Al-Basri
Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir. Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan. Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya.
Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?
Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal.
Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut
Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah
Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut. Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.
Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya.
Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Sang Menteri pun segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana.
Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut terus berjalan menuju ke pintu madrasah.Hassan Al Basri, sewaktu terpandang Menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2.
Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga berasa kehairanan.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.
Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.
Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri.
Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah.
Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam Menteri tersebut.
Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari ?
Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini.
Jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri. Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya.Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya.
Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya menyampaikan surat Tuannya.
Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.
Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca.
Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.
Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau dengan hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok hari untuk majlis ini.
Sekian.
Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid
Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya.
Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya.
Salam,
Harun,
Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan mungkar mu ?
Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi membiayai majlis peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung. Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?"
Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.
Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan.
Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ?
Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan persahabatan ku dengan mu !!!
Sekian.
Hassan Al Basri
Tersentuh hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada Menteri untuk dikembalikan kepada Harun Al Rashid.
Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.
Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya menjadi rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan. Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang mengikutinya. Lalu bekatalah Menteri tersebut kepada para pedagang di pasar itu.
Menteri : Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana. Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah.
Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka.
Pedagang : Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?
Menteri : Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya amat murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi.
Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri. Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan pakaiannya yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri.
Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?
Menteri : Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri. Aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu. Kerana selepas ini. Aku akan mengikuti tuan ku yang baru, iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul Nya.
Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.Harun Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al BAsri telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis. Tangisan keinsafan.
Di beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan terus menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.

Marah dan terasa hati
Kau buatku tersenyum?
‘Kau buatku tersenyum’ terpandang saya dekat shout out box ecah.
‘Ha, cam semacam je bunyinye..sape cah yg buat kmu tersenyum..’ mulalah semua cuba membuat andaian.. Pasti semua fahamkan ape yang orang fikirkan? ‘ni mesti dah ade special ni’ biasalah mind setting kita, huhu.
Samalah saya pun kadangkala begitu. Memang itu yang kita selalu fikirkan dan itu pun buat saya tersenyum. Bukan apa, teringat sewaktu pernah ter’suka’ dekat seseorang.. itulah perasaan.. kadang-kadang boleh jadi perasan.. hikhikhik.. apelah punya perasan.
Apapun, seharusnya kita sebagai muslim, seharusnya cuba mencari jalan yang sebenarnya dalam kita mengawal dan meluahkan perasaan kita. Hanya kepada yang hak..tunggulah bila dah jadi hak barulah boleh nak ber’perasaan-perasan’ lebih-lebih nih. Senyum lagi.
Hindarkan diri dari bermain cinta, jika dalam jangka masa terdekat tiada kemungkinan untuk berkahwin. Jangan nyalakan api jika tiada kayu dan dapur serta periuk untuk memasak. Kelak rumah yang terbakar hangus~Abu Saif a.k.a ust Hasrizal~
Okey, closed topic.
‘Kak fad stress kot?’ teka junior saya waktu kami ber’ym’. Bukannya apa, saya cuma katakan, bila dah kerja ni, semua sendiri, senyum sendiri, gelak sendiri, semua sendiri, sebabnya semua kawan-kawan tiada disisi macam di universiti, susah senang, cerita menangis ketawa semua bersama.. sekarang? Alhamdulillah ALLAH tetap di sisi.
Itu yang jadi semua sendiri. Stress tu memang lah ada sikit di tambah lagi dengan kerja dan masalah peribadi, bos marah, client banyak ragam, belum masuk staff yang tak pernah-pernah nak solat sepanjang saya bekerja.. bagaimana mahu menegur? ‘Itu pun boleh risauke?’soal sahabat saya. Mana taknya, takkan kita nak tengok dan buat ‘dek’ je orang-orang yang tak sembahyang? Tak kan la 3 bulan lamanya masih ‘masalah wanita’. Itu kena cerita lain, bab tegur dan tarbiyyah orang..huhu. Senyum lagi. Senyum bukan senyum kosong. Tapi kena cari stratergi supaya kita semua sama-sama mendapat redha Allah swt.
Hal kerja memang lah kadang-kadang buat saya tertekan, tapi, saya suka mencari perkara yang menyenangkan untuk difikirkan, yang mampu buat saya tersenyum supaya saya tidaklah lah terlalu stress. Indulge in little pressure, bak pepatah inggeris. Kemanisan di sebalik kepahitan. Kerana setiap ujian itu adalah tarbiyyah dari ALLAH swt buat hambaNYA.

Senyum dan tersengih
‘Mak anjang ni kenapa ye, kalau ape je umi cakap, fami cakap, semua cakap, asyik-asyik heheheh, tersengih..’ soal anak kepada sepupu yang baru darjah 3. Soalnya dihadapan saudara mara yang lain. Gelak sahajalah dah malu. Senyum yong senyum.. senyum pun boleh cover malu. Itu sebab lain saya senyum. Senyum boleh cover malu, dan boleh digunakan kalau tak jumpa jawapan yang sesuai atau tiada idea untuk sembang apa dengan orang.
Membaca blog, testimoni dan komen di internet, itu semua hobi lapang saya. Yang saya kenal atau tidak, saya baca. Suka. Kerana ia juga mampu mengukir senyuman saya. Walau kadangkala ada yang kasar dari segi bahasa, ada yang mengutuk dan tak kurang juga yang mengondem secara terang-terangan, habis semua saya baca..dan senyum. Bukan apa, kadangkala, yang sakit itu juga boleh jadi lawak, ada juga orang macam ni, saya fikir. Senyum juga kadangkala menandakan kesetujuan dengan apa yang diperkatakan.
Terluka dan senyuman
‘Life is a journey where we will hurt somebody and we are being hurt’. Ini saya quote dari webpage friendster sahabat saya yang saya rasa ada benarnya. Selalu bila kita terluka kita sentiasa merasa dunia dan kehidupan tidak adil kepada diri kita. Lalu kita memilih untuk merintih nasib yang menimpa diri kita. Terus-terusan dengan kesedihan tanpa mengambil langkah mengubah kepada nasib yang lebih baik. Sekarang jika dinilai kembali, adakah kita telah berlaku adik kepada diri kita sendiri? Membiarkan hati terus berdarah dengan kesedihan?
Ya, saya juga terluka. Atas pelbagai perkara dan terbaru, saya rasakan ada luka yang amat dalam. Saya ambil langkah menceritakan hal kepada sahabat yang agak rapat dengan saya setelah merasakan perlu setelah mengadu padaNYA. Lalu respon yang saya dapat begitu berbeza dari jangkaan.
‘Maaf, akak bukan nak emosional fadilah, tapi realitinya mereka memang begitu, akak doakan mereka dapat seperti apa yang mereka buat pada fadilah!’ tingkah sahabat saya agak tegas.
Saya benar-benar rasa bersalah kerana telah membina fikiran negatif dalam diri sahabat saya kepada orang yang ‘melukakan’ saya. Sekali lagi saya hanya menemui kebuntuan dan ketidak tenangan hati dari kesilapan langkah saya mengatasi kesedihan saya. Apa yang saya pasti, setiap orang pasti melakukan sesuatu bersebab namun kadangkala tidak menyangka membawa kepada kelukaan pihak lain. Dan pasti setiap orang yang tersilap langkah berhak mendapat keampunan.
Bagaimana dengan kita yang terluka? Ah, mudah. Ambillah dan fikirkanlah kata-kata dibawah.
Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku
~ Abu Darda’ Radhiyallahuanhu ~
Tersenyumlah. Berlapang dadalah dengan setiap apa yang berlaku. Kerana bersangka baik akan setiap ketentuan dan aturanNYA adalah lebih indah dari segalanya. Binalah keyakinan bahawa disebalik musibah, terdapat ganti dan balasan dari ALLAH swt yang akan selalu berakhir pada kebaikan kita. Tersenyumlah sebagai sedekah kepada yang lain yang melihatnya, tanda kedermawan hati, dan kesejukan hati walau saat ia terluka.
Dalam kitab Harim, Zuhair bersyair:
Kau akan melihat sendiri keceriaan wajahnya
Jika kau bertemu dengannya
Seolah kau memberikan kepadanya sesuatu
Yang kau sendiri memerlukannya
(Dipetik dari buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni)

Apapun, back to the basic. Senyum, as simple as that. Kita mampu membuat orang lain tersenyum. Walaupun kadangkala, kita boleh buat orang lain bersangka kita kurang kewarasan.
Tapi, bagi saya, senyum lebih membuat kita tenang. Biarlah orang kata, senyum tidak ikhlas ke, buat-buat ke. Asal kita rasa nak senyum, dan itu buat kita lupakan setiap kepahitan yg ‘terpaksa’ ditelan.
Bukan sekadar terpaksa, namun, senyum boleh membuat kita sedar supaya kita sentiasa redha atas setiap ketentuan ALLAH swt. Membina keyakinan kita pada ALLAH swt dengan memotivasikan diri supaya sentiasa positif menerima ujian..lumrah hidup, kesusahan kepahitan kepayahan dan setiap ‘ke’ yang tidak menyelesakan hati manusia pasti tetap dirasai. Cuma perlu di ingat sebagai muslim, setiap ujian yang ALLAH swt turunkan adalah berdasarkn tahap keimanan dan kemampuan kita untuk menerimanya, dalam usahaNYA mentarbiyyah diri kita supaya menjadi yang lebih baik, muslim sejati acuan al-quran.






